Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan negara bakal berdepan krisis ekonomi kerana timbunan hutang termasuk nilai ringgit yang terus menjunam.
Veteran UMNO itu berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) diharap berjaya menghadapi krisis ekonomi yang mungkin timbul seperti pernah berlaku di negara lain termasuk Eropah.
“Nilai Ringgit pun jatuh teruk berbanding dolar Amerika. Kita harap tidak berlaku (krisis ekonomi) di negara ini kerana timbunan hutang yang besar.
“Jadi sama ada kerajaan kita mampu menghadapi krisis terserahlah kepada kerajaan baharu itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pembinaan masjid baharu di bandar Gua Musang di sini, pada Jumaat.
Sementara itu Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata kerajaan PH membuat kesilapan apabila menawarkan 10 janji besar dalam manisfesto Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU-14) lalu sehingga gagal dilaksanakan kerana membabitkan kos terlalu tinggi.
Katanya, dalam tempoh 100 hari, kerajaan PH hanya berjaya menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sahaja.
Bagi sembilan lagi janjinya mungkin tidak boleh dilaksanakan kerana berdepan dengan masalah besar kewangan negara seperti mahu menghapuskan tol di seluruh negara.
“Harga minyak yang berada di paras rendah sekarang seperti yang dicadangkan itu, nampaknya tidak mungkin boleh dilakukan.
“Begitu juga cadangan lain seperti Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) nak ubah jadi biasiswa.
“Pendek kata semualah tak dapat buat, cuma GST dimansuhkan dan digantikan pula dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menyebabkan kerajaan akan kehilangan hasil berbanding GST,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.