Speaker Mohamad Ariff berkata beliau mahu memastikan
Ahli Parlimen berkelakuan elok dan perbahasan lebih ilmiah bagi
menggambarkan sebuah Parlimen baru.
Speaker baru Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusoff
Bekas hakim itu berjanji bersikap lebih tegas dalam persidangan kedua akan datang, berlatarbelakangkan kejadian jerit-menjerit di antara Ahli Parlimen yang bukan sahaja menyaksikan mereka menggunakan bahasa yang tidak sesuai digunakan, malah lebih buruk saling mencarut antara satu sama lain.
Dalam temu bual dengan FMT, Ariff, yang dilihat sebagai wajah segar mewakili sebuah Parlimen yang diperbaharui berkata, sebanyak mana pembaharuan yang dilakukan tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya Ahli Parlimen terus berkelakuan seolah-olah Parlimen merupakan pasar malam.
Beliau jelas kelihatan gugup melihatkan tingkah laku sesetengah Ahli Parlimen.
“Ini bukan pasar malam. Tiada perasan hormat terhadap wanita atau pelajar yang mungkin berada di galeri awam,” katanya kepada FMT.
Persidangan pertama selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya tidak sunyi daripada insiden jerit-menjerit dan keluar dewan yang biasa berlaku sebelum ini, tetapi penggunaan carutan 4 huruf oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin benar-benar mengejutkan ramai orang.
“Mereka menamakannya Malaysia Baru, tetapi kita saksikan watak lama di kedua-dua pihak,” kata Ariff. “Menukar institusi tidak mencukupi, kita perlu mengubah budaya Parlimen. Ini isu tingkah laku manusia,” katanya.
Ariff berkata, beliau tidak lagi akan bersikap lunak apabila Dewan Rakyat bersidang semula, dan menegaskan Ahli Parlimen yang menggunakan kata-kata carutan 4 huruf akan digantung dan elaun mereka disekat.
“Kita perlu hukum mereka dengan tegas.
“Mereka tampak hidup dalam zon selesa masing-masing. Mereka perlu sedar bahawa kita perlu mengembalikan kemuliaan Parlimen,” katanya.
Ariff sebelum ini dikritik kerana tidak tegas terhadap Bung, yang dilepaskan setelah meminta maaf.
Ariff berkata, beliau memahami kritikan tersebut tetapi berkata keputusan yang dibuatnya sesuai dengan keadaan pada masa itu.
Beliau berkata selepas beliau mengancam menggantung mereka yang menggunakan bahasa lucah, Ahli Parlimen berkelakuan lebih baik.
“Wakil kerajaan juga bersikap hormat dan cermat.”
Ariff berkata, Parlimen akan hanya berfungsi dengan baik sekiranya Ahli Parlimen mengawal emosi.Kata beliau, salah satu matlamatnya ialah memastikan semua ruang perbincangan diterokai terlebih dahulu sebelum sesuatu undang-undang diluluskan.
“Dasar mestilah berorientasikkan rakyat dan dibincangkan, bukan diluluskan secara tergesa-gesa,” katanya dan mengemukakan contoh Akta Anti-berita Tidak Benar yang diluluskan beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan bagi membuka jalan kepada pilhan raya umum ke-14 Mei lalu.
“Realitinya, tidak banyak input awam diambil kira sebelum rang undang-undang itu diluluskan yang menatijahkan hiruk-pikuk bantahan selepas itu. Ia biasanya digubal oleh kementerian berkaitan dan Pejabat Peguam Negara”
Beliau berkata, Dewan Rakyat kini mempunyai beberapa jawatankuasa untuk membahaskan dasar penting yang memberi kesan ke atas orang ramai.
“Panggil pakar, banyakkan perbahasan. Lebih utama kita perlukan perbahasan lebih matang dan ilmiah.”
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.