SHAH ALAM - Kegusaran orang Melayu terhadap isu tanah rizab Melayu yang dikatakan semakin berkurangan sebenarnya memerlukan anjakan mentaliti daripada orang Melayu sendiri.

Ironinya, di sebalik dakwaan bahawa sebanyak sembilan juta hektar Tanah Rizab Melayu yang diambil oleh kerajaan (sebelum ini) tidak diganti, ada perkara yang lebih utama yang perlu diterap dalam minda orang Melayu iaitu tanah sebagai senjata bagi meningkatkan taraf ekonomi.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Hartanah Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak, dalam soal tanah rizab Melayu diperkasa atau dipenjara, perkara utama yang perlu dilakukan ialah mengubah mentaliti orang Melayu dari hanya melihat tanah rizab Melayu sebagai ringgit dan sen.

“Sebenarnya nilai ini subjektif… ada tengok dari segi duit, ada tengok dari nilai estetik dan nilai kepentingan. Apa yang kita lihat bila tanah rizab Melayu diangkat nilai, mentaliti hanya memikirkan sebab apa nilainya rendah berbanding dengan nilai harta tanah terbuka.

Margin perbezaan tanah rizab Melayu dan terbuka dianggarkan sehingga 40 peratus. Itu dalam konteks RM (ringgit Malaysia) dan sen. Tanah rizab Melayu terletak di kawasan luar bandar… apa yang terlintas dalam fikiran nak jual.

Kenapa tanah bukan status Melayu ni RM100,000 (nilainya) dan kenapa tanah rizab Melayu dalam RM60,000 hingga RM70,000. Sebenarnya kita perlu mengangkat nilai tanah rizab Melayu ini tanpa mengorbankan tanah itu sendiri.

Macam mana jana pendapatan baik dari perspektif fizikal atau bukan fizikal. Kita boleh tukar guna tanah rizab Melayu yang kebanyakannya digunakan untuk tanah pertanian.

Penjara mentaliti kita bila kita letakkan tanah rizab Melayu sebagai pertanian. Kita boleh tengok potensi pembangunan, kalau kawasan tu dah jadi zon perumahan boleh tukar kegunaan tanah rizab Melayu.

Tukar guna tanah rizab Melayu dari pertanian kepada bangunan dan perindustrian. Sama ada dia (pemilik tanah rizab Melayu) nak jual atau sewa.

Dalam konteks pajakan kepada bukan Melayu (tanah rizab Melayu) tak boleh tapi dalam undang-undang rizab Melayu negeri bersekutu, tak ada sekatan mengenai sewaan.

Boleh sewakan kedai atau rumah kepada Melayu dan bukan Melayu di tanah rizab Melayu. Sewa sahaja tak mewujudkan kepentingan ke atas tanah rizab Melayu berkenaan.

Kita perlu mengangkat nilai (tanah rizab Melayu) tanpa mengorbankan tanah berkenaan iaitu tanpa menjual tanah rizab Melayu.

Menjadikan tanah rizab Melayu dibangunkan dengan unit tanah komersial untuk disewakan, setahun, dua tahun tetapi tidak melebihi tiga tahun.

Sepatutnya orang Melayu kena menggunakan tanah sebagai senjata untuk meningkatkan tahap ekonomi. Ini bagi tanah rizab Melayu yang pemilikan tunggal.

Bagi pemilikan tanah berbilang pemilik sehingga kita (boleh) memperkenalkan konsep saham dan setiap pemilik akan mendapat syer mengikut pecahan masing-masing.

Dari segi protection (perlindungan) ada dalam perlembagaan (tanah rizab Melayu hanya boleh dijual kepada orang Melayu) cumanya nak mengangkat nilai tanah rizab Melayu sendiri itu macam mana untuk beri pengajaran, pendidikan kepada orang Melayu supaya melihat tanah sebagai aset dan bukan komoditi (yang boleh dijual).

Sebab sejak sekian lama dalam penjajahan sampai sekarang ini (orang Melayu) masih tak mampu menguasai ekonomi, ada tanah tapi tak tahu nak fikir jadikan tanah sebagai aset.

Jual tanah jadi mengapa tidak memikir cara ubah kegunaan tanah Kenapa anak bangsa tidak mengangkat nilai tanah itu sendiri.

Di universiti (UiTM) dalam pengajian harta tanah kami melatih anak bangsa untuk menguruskan nilai.

Dalam konteks pembangunan tanah, pembangunan pengurusan tanah yang pertama dan akhir sekali pengambilan tanah.

Dari segi perspektif sosial macam mana kita nak memberikan pendidikan, pelajaran kepada pemilik-pemilik tanah rizab Melayu.

Golongan berumur usia emas mungkin tak boleh nak beri penerangan tapi generasi kedua, ketiga yang berumur sekitar 20 tahun, 30 tahun, 40 tahun kita boleh berikan penerangan.

Jangan fikir tanah rizab Melayu untuk tanam durian, tanam langsat tapi kena fikir untuk guna cara lain.

Salah satu masalah tanah rizab ini data yang mutlak, data yang setempat mengenai keluasan tanah rizab Melayu, disimpan di negeri-negeri.

Data terakhir yang direkodkan secara formal oleh Jabatan Audit Negara ialah pada tahun 2013 dan selepas itu keluasan tanah rizab itu dibentangkan dalam sidang Dun dan akhbar-akhbar.

Pada tahun 2013, hampir tujuh buah negeri diaudit mengenai keluasan tanah rizab Melayu kecuali negeri Perak dan Kelantan. Ketujuh-tujuh negeri menghadapi masalah tanah rizab Melayu apabila status dibatalkan tetapi tidak digantikan dengan serta merta bertentangan dengan peruntukan artikel 89 Perlembagaan Persekutuan.

Kebanyakan negeri yang saya perasan di Negeri Sembilan bila diberikan hasil dapatan audit, langkah pertama yang dilakukan ialah Pengarah Pejabat Tanah Negeri Sembilan telah mengeluarkan arahan pelaporan keluasan tanah rizab Melayu di negeri sembilan setiap bulan.

Ia adalah satu langkah yang proaktif dalam mengemaskini maklumat tanah rizab Melayu di Negeri Sembilan.

Dasar kerajaan negeri Kedah dalam mesyuarat mengeluarkan ketetapan mana-mana tanah rizab Melayu yang dibatalkan tolong digantikan semula dan ditambah lima peratus (keluasan) tetapi dalam laporan audit menemui bahawa keluasan tanah tidak digantikan sepenuhnya.

Lima peratus pun tak capai, tak wujud akibatnya tanah rizab Melayu secara keseluruhannya belum mencapai keluasan 50 peratus,” katanya.