KOTA KINABALU – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
berkata kerajaan Pakatan Harapan melalui Malaysia Baharu akan
mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak seperti
termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa negara terbentuk
55 tahun lalu.
Katanya, status Sabah dan Sarawak, yang berubah daripada
rakan sekutu kepada negeri-negeri dalam Malaysia, yang akan dikembalikan
itu adalah sebahagian daripada proses dilaksana setelah kajian MA63
disiapkan.
“Pengembalian status Sabah dan Sarawak sebagaimana dalam
MA63 memberi kita asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga
wilayah (Semenanjung, Sabah dan Sarawak).
“Pastinya keperluan-keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak
perlu diberi perhatian kerana masih terdapat daerah-daerah mundur dan
kelengkapan yang amat daif.
“Kajian MA63 pastinya akan menimbulkan keperluan penilaian
semula beberapa amalan yang telah terlaksana sebelum ini,” katanya
ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia 2018 di sini, malam
ini.
Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 30,000
pengunjung berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar
Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, isteri perdana menteri
Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Menteri
Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, yang juga pengerusi
Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2018 serta anggota kabinet
Persekutuan dan negeri.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berharap apa sahaja penilaian
semula dilakukan terhadap amalan-amalan di bawah MA63 perlulah dilakukan
di dalam semangat setiakawan, saling menghormati dan sikap tolak ansur
yang tinggi.
Katanya, tanpa semangat dan sikap seperti itu kesatuan
Malaysia sebagai satu negara dan bangsa akan terhakis selain keindahan
yang dikecapi bersama selama ini akan hilang di masa akan datang.
Katanya, bagi kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan, ia
pasti tidak akan melupakan tanggungjawabnya kepada Sabah dan Sarawak dan
akan mencari jalan untuk memajukan infrastruktur yang akan dilaksana
mengikut kehendak dan keperluan rakyat di negeri berkenaan.
“Di masa yang sama, saya yakin, hubungan antara rakyat yang
terjalin begitu lama pasti menyedarkan kita betapa perlunya terdapat
semangat “reciprocity” atau timbal balik di antara Semenanjung, Sabah
dan Sarawak.
Dr Mahathir yakin rakyat Sabah dan Sarawak berasa senang dan diterima di Semenanjung kerana kehadiran mereka di sana tidak ada sebarang sekatan atau “encumberances”.
Beliau percaya keadaan itu telah berjaya mengeratkan hubungan sesama penduduk Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai rakyat Malaysia.
“Keakraban yang terbina inilah yang telah membantu Malaysia kekal walaupun ada ketikanya timbul perbezaan pendapat di antara pemimpin-pemimpin dari ketiga-tiga wilayah ini,” katanya.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.