Halaman

Jumaat, 14 September 2018

MCA tahu kerjasama Umno-Pas: Noraini


Kerjasama Umno-Pas dalam pengetahuan MCA
Dr Noraini (tengah) dalam sidang media selepas selesai perasmian Muktamar Tahunan Muslimat Pas Pusat di TTI, hari ini.
 
 
KUALA TERENGGANU – Parti komponen dalam BN tidak seharusnya menjadikan kerjasama antara Umno dan Pas sebagai isu atas dasar meraikan kepelbagaian.

Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, jalinan kerjasama kedua-dua parti itu juga  dalam pengetahuan parti komponen BN.

“Dalam maklumat saya secara peribadi dan selaku Ketua Wanita Umno, apabila berlaku penyatuan antara Umno dan Pas adalah untuk menguatkan bangsa dan agama. Ia juga dalam pengetahuan MCA.

"Dalam parti kita meraikan kepelbagaian dan dalam hal ini kita serahkan kepada pemimpin tertinggi untuk putuskan," katanya pada sidang media selepas hadir ke Muktamar Tahunan Muslimat Pas Pusat di Taman Tamadun Islam, hari ini.

Noraini mengulas mengenai laporan yang memetik Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai berkata, jika Umno memilih untuk bekerjasama dengan Pas, BN boleh ucap 'Selamat Tinggal' kepada kerusi yang mempunyai majoriti bukan Melayu.

Ini kerana katanya, 85 daripada 222 kerusi Parlimen mengandungi 35 peratus pengundi Cina dan India yang mana 69 daripadanya mempunyai 40 peratus pengundi daripada kaum itu.

Ditanya mengenai laporan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz yang ingin berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRK Port Dickson nanti, beliau meraikan kepelbagaian pandangan.

Bagaimanapun kata Dr Noraini, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan kerana maklumat itu hanya diperoleh melalui media.

“Saya pun baca melalui media, kita meraikan kepelbagaian namun kepimpinan tertinggi belum beri arahan. Dalam Umno dan BN kami biasanya adakan perbincangan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.