HALAMAN SANTAI

Isnin, 17 September 2018

PAKATAN MALAYSIA BAKAL GANTI PH – KHALED



Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membayangkan parti itu akan membentuk Pakatan Malaysia sebagai kuasa politik baharu membabitkan gabungan PAS, MCA, MIC Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah serta PKR bagi menggantikan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, perkara itu tidak mustahil akan berlaku dengan berbekalkan formula yang betul dan utuh, mampu membentuk satu gabungan politik yang berupaya memberi tentangan hebat kepada PH.

“Malaysia waktu ini akan dicorakkan oleh “one political coalition against a myriad of political parties”. Maknanya, semua parti politik mempunyai pengaruh dan kepentingan strategik sendiri dalam pembentukan kerajaan. Setiap satunya harus strategik dan terbuka dalam menentukan survival.

“Tidak mustahil untuk UMNO, PAS, MIC, MCA, GPS di Sarawak dan Gabungan Bersatu Sabah, bergabung bersama PKR dan menubuhkan sebuah gabungan baharu ‘Pakatan Malaysia’, bukan lagi ‘Pakatan Harapan’,” katanya menerusi warkah untuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri itu yang mendakwa UMNO sudah musnah dan kerana itu PPBM ditubuhkan.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, UMNO masih parti terbesar di Parlimen dan mendapat kepercayaan sebahagian besar orang Melayu.

“UMNO jauh lebih dominan, kuat dan berpengaruh berbanding BERSATU, walaupun sokongan terhadapnya nyata semakin susut. Cercalah. Perlilah. Katakanlah apa jua, insya-Allah kami akan terus menghidupkan UMNO. Kerana bagi kami, UMNO ini bukan sekadar sebuah parti.

“Ia adalah gerakan kebaikan untuk bangsa Melayu. Ia adalah sebuah institusi politik Melayu nan satu-satunya. Apatah lagi pada orang Johor seperti saya. UMNO, bagi orang Melayu Johor, sudah menjadi sebahagian daripada nyawanya,” katanya.

Katanya, UMNO mengerti isyarat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu namun parti itu tidak akan terus pasrah dan berpeluk tubuh sebaliknya akan dirawat dan dipulihkan.

“Itulah fitrah kehidupan. Kami tidak menyesal. Kami akan belajar dari kesilapan. UMNO faham pengajaran besar ini dan berhasrat untuk tidak mengulanginya lagi.

“Insya-Allah kami akan islahkan UMNO,” katanya.


Tiada ulasan: