THE MALAYSIAN TIMES
PORT DICKSON: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan lari daripada menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menteri Dalam Negeri itu, yang membuat penampilan sulungnya dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di sini, malam tadi, berkata kerajaan PH memiliki mandat berbaki empat tahun lebih untuk melaksanakannya.
“Saya amat yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, (Ketua Umum PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan yang lain ia dapat dilaksanakan. Sebahagian besar agenda yang penting akan dilaksanakan.
“Walau tak 100 peratus tetapi yang penting akan kita laksanakan… tetapi rakyat kenalah sabar sikit,” katanya dalam ucapan pada majlis ramah mesra bersama penduduk Bagan Pinang, dekat sini.
Turut hadir, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Eddin Syazlee Shith, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.—Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.