HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Oktober 2018

JPNP beli 10 drone

JPNP beli 10 drone
Mohd Hizamri (tengah) melihat drone yang akan digunakan untuk mengesan pencerobohan hutan pada Program Perhimpunan Bulanan dan Penyerahan 10 Unit Drone.


KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah membeli 10 unit drone yang bernilai lebih RM105,000 bagi mengawasi pencerobohan kawasan hutan di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, lapan unit drone model Phantom 4V2 berharga lebih RM79,000, manakala dua lagi adalah model Inspire 1V2, dianggarkan berharga RM23,500 bagi setiap satu unit.

Menurutnya, drone model Inspire IV2 mempunyai keupayaan terbang tinggi dalam jangka masa lama dan kemampuan merakam gambar dengan baik.

“Dua drone itu digunakan sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasa Pahang Barat dan Timur yang bertanggungjawab membenteras kegiatan menceroboh dan memindahkan hasil hutan seperti kayu balak tanpa kebenaran.

“Kita akui kawasan hutan dinegeri ini luas, malah bentuk mukanya berbukit memerlukan jabatan menggunakan dron setiap kali menerima aduan pencerobohan sebelum operasi mengesan dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagi drone model Phantom 4V2 pula akan dibekalkan kepada Pejabat Hutan Daerah (PHD) bagi membolehkan mereka menjalankan pemetaan.

Dalam pada itu, Mohd Hizamri menambah, setiap tahun pihaknya menyediakan peruntukan besar untuk membekalkan drone bagi kegunaan bahagian penguatkuasa termasuk kepada setiap PHD untuk melakukan pelbagai tugas lain.

Katanya, selain mengesan pencerobohan kawasan hutan banyak lagi kegunaan drone seperti menentukan kedudukan sempadan, mengenal spesies pokok balak dan menyediakan kedudukan pemetaan.

Jelasnya, jabatan akan membekalkan lebih banyak lagi drone secara berperingkat dalam
memastikan semua PHD dan bahagian penguatkuasa setiap daerah memiliki kemudahan itu bagi menjalankan tugas.

Beliau memberitahu, dengan adanya drone yang berkualiti tinggi, jabatan yakin kegiatan pencerobohan dan memindahkan hasil hutan termasuk aktiviti perlombongan secara haram dapat sekat daripada terus berlaku.

Tiada ulasan: