Halaman

Sabtu, 13 Oktober 2018

PH, mananya manifesto baru selepas PRU?

Praba Ganesan


Kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Bali semalam seharusnya menimbulkan banyak persoalan di kalangan rakyat Malaysia.

Beliau, menurut agensi berita negara Bernama, menyatakan:

“Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini merupakan beban yang besar."

Seterusnya, perdana menteri memberi pendapat bahawa sekiranya tol-tol di seluruh negara dimansuhkan, langkah itu mungkin akan memaksa kerajaan untuk meningkatkan harga petrol.

Subsidi petrol adalah lagi satu janji yang dimasukkan dalam manifesto kerajaan ini.Rakyat tidak boleh disalahkan kalau gelisah dengan perkembangan ini.

Isu pertama, satu perkara yang kurang bertanggungjawab untuk menyediakan manifesto pilihan raya umum tanpa memikirkan panjang lebar jika mereka ikhlas sepenuh hati untuk menjayakan sepenuhnya manifesto tersebut sekiranya menang pertandingan.

Isu kedua, sangat duka cita apabila perdana menteri sanggup melupakan manifesto kerajaannya apabila didapati perlaksanaannya terlalu membebankan. Sepatutnya beliau mengukur baju di badan sendiri sebelum membuat janji-janji manis.

Justeru, dengan keputusan terbaru ini untuk tidak memenuhi semua janji-janji manifesto, kerajaan dan perdana menteri ini perlu:

a) memberitahu rakyat janji-janji mana yang akan dilupakan;

b) menerangkan sama ada ini adalah satu kiasan yang Belanjawan 2019 akan mengandungi kurang perbelanjaan dan dasar untuk menjayakan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

c) membentangkan dalam masa yang terdekat, selepas diubahsuai, manifesto pascapilihan raya terbaru.

Seharusnya kerajaan perlu menyatakan kekesalan mereka dalam membuat keputusan untuk meninggalkan manifesto asal.

Manifesto pascapilihan raya perlu untuk membantu rakyat Malaysia memahami apa yang perlu diharapkan dan bagaimana untuk menilai kerajaan ini dalam masa empat tahun akan datang sehingga tamat mandate.

Manifesto sangat bermakna dalam proses pertandingan politik, kerana mereka adalah jendela kepada masa depan. Sekiranya parti-parti memegang pendapat yang mereka boleh lupakan manifesto apabila mereka telah menang pilihan raya, ini akan memudaratkan proses demokrasi negara.

Dengan itu perlukah pengundi tidak ambil peduli berhubung dengan manifesto bila sampai masa mengundi oleh kerana manifesto-manifesto hanya sekadar hiasan pilihan raya? Sekadar melepaskan batok di tangga?

Sekiranya sebegitu, rakyat terpaksa mengundi untuk parti berdasarkan muka siapa lebih comel di poster pillihan raya, dan seterusnya mengharapkan sahaja kerajaan yang menang akan melakukan yang terbaik.

Adakah ini demokrasi? Boleh dikatakan ini adalah satu bentuk penindasan, dan kalau diteruskan lagi hujah, ia menjadi satu penipuan besar.

* Praba Ganesan adalah ketua eksekutif KUASA
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.