Kira-kira 10 rumah di Flat Taman Sri Bandar di Port Dickson mengalami kerosakan akibat terkena letupan dipercayai mercun sebaik dinyalakan sekumpulan lelaki malam tadi.
Menurut penduduk yang mahu dikenali sebagai Marina, 51, dia terkejut apabila secara tiba-tiba terdengar bunyi yang sangat kuat dari arah dapur rumahnya disusuli bunyi cermin berderai dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam.
"Ketika kejadian, saya baru saja masuk ke bilik untuk tidur dan berasa takut apabila mendengar bunyi itu.
"Saya bergegas ke dapur dan mendapati cermin tingkap belakang rumah ini dan rumah jiran lain di tingkat bawah hingga tingkat atas pecah teruk," katanya kepada Bernama.
Marina berkata anggota keluarganya telah menghubungi polis bagi melaporkan perkara itu sejurus kejadian.
"Mujur anak bongsu saya yang berada di dapur sempat mengelak serpihan kaca dan tidak mengalami kecederaan. Kejadian ini menyebabkan kerugian kepada penduduk flat kerana banyak yang perlu dibaik pulih," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk flat empat tingkat itu yang mahu dikenali sebagai Ina, 60, berkata semua cermin tingkap dapur rumahnya turut musnah akibat letupan mercun itu.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka sekeluarga berasa tidak selamat kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini disebabkan rumah terdedah.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya pergi ke tempat kejadian setelah menerima panggilan.
Beliau berkata orang awam diingatkan agar tidak bermain mercun dan menghormati jiran tetangga dan pihak polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada pelanggaran peraturan.
Bagaimanapun, katanya, tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu setakat ini.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.