HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 November 2018

Ajak dialog mahu cari kebenaran

 
 
KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi secara rasminya mengajak Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk berdialog berhubung kontroversi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menurutnya, dialog ini bukannya mahu mencari pendebat handalan.

"Saya ajak dia (Syed Saddiq) berdialog, bukan berdebat. Kita bukan nak cari pendebat handalan kerana kita tahu dia adalah pendebat terbaik dunia.

"Kita cuma mahu cari kebenaran titik pertemuan bahawa tidak selamanya isu Islam, Melayu dan hak bumiputera boleh senang diperkotak-katikkan," katanya ketika berucap dalam himpunan tersebut di Kompleks Sogo, di sini.

Tegasnya, Syed Saddiq usah bongkak dengan jawatannya sebagai menteri dan gaji yang besar.
Katanya, dahulu Syed Saddiq juga merasai nikmat daripada keistimewaan yang ada dalam perlembagaan.

"Pergi sekolah asrama penuh. Asrama penuh adalah hak keistimewaan dalam perlembagaan. Dah jadi menteri, gaji berpuluh ribu mula bongkak. Kata ketuanan Melayu tak relevan," katanya.

Tambahnya, tidak pernah sama sekali Melayu mengatakan mereka lebih mulia daripada bangsa lain.

"Pernah kita anggap macam itu? Tidak. Kita tak boleh mereka ini terus perbodohkan kita. Hari ni kita nak sedarkan mereka, tanah air ini milik orang Melayu, milik bumiputera.

"Bangsa kita begitu toleran sanggup kongsi tanah air dengan bangsa lain. Sebab apa kita kongsi? Sebab kita mahu hidup aman dengan mereka.Janganlah baru menang PRU dah mula angkuh," katanya.

Jelasnya, usah memperbodoh rakyat dan jangan buat sesuka hati dengan kuasa yang ada.

"Kita sayang negara kita dan agama lain. Kita sayang Melayu, Cina, India dan bangsa lain. Kita sayangkan keamanan, kestabilan dan keharmonian," katanya.

Sementera itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan berkata, himpunan hari ini adalah untuk mendesak kerajaan untuk tidak sama sekali mempermainkan isu ini.

"Kita tolak ICERD kerana ia adalah usaha untuk mengubah struktur negara dan perkara yang telah dipersetujui sejak awal kemerdekaan dulu," katanya.

Terdahulu, kira-kira 1,000 orang menghadiri Himpunan Bantah ICERD di Masjid Jamek pada jam 12 tengah hari, sebelum berarak ke Jalan Tunku Abdul Rahman.

Himpunan anjuran Pemuda Pas dan Pemuda Umno serta turut disertai badan bukan kerajaan (NGO) ini telah dihadiri Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Kehadiran peserta terbabit mewakili pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gerakan Pembela Ummah (Ummmah), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Mereka dilihat memegang beberapa sepanduk termasuk ‘ICERD adalah Malayan Union 2.0’ dan ‘Jangan Jual Kedaulatan Negara’ sambil melaungkan ‘Bantah ICERD’ serta ‘Allahuakbar’.

Tiada ulasan: