Dua hari lalu, tiga persatuan yang mewakili 20,000 pengusaha restoran mengadakan himpunan bagi membantah larangan merokok di semua premis makanan yang bakal dikuatkuasakan tahun depan.
Isu ini sudah dibahaskan sejak sekian lama di media massa dan rata-ratanya setuju dengan cadangan kementerian kesihatan itu.
Pandangan itu nampaknya turut dikongsi sejumlah perokok yang ditemui Malaysiakini semalam.
Kebanyakannya memahami keadaan tidak selesa orang ramai apabila terdedah dengan asap rokok di tempat terbuka, apatah lagi ketika menjamu selera.
"Larangan itu okay saja walaupun saya sendiri merokok. Saya pula bukan perokok tegar jadi saya faham perasaan orang yang sedang makan, tiba-tiba asap pula sampai ke mulut," kata perunding berusia 28 tahun, Faiz Abdullah.
Pemandu lori yang hanya ingin dikenali sebagai Derick pula berkata, dia menyokong larangan itu apabila memikirkan kesihatan orang lain, terutama kanak-kanak dan warga emas.
"Tak baik asap rokok dihidu kanak-kanak, orang tua dan orang yang sakit. Tak eloklah merokok dekat dengan mereka," katanya.

Berpandangan
sama adalah pegawai Universiti Teknologi Mara, Taufik Abdullah, yang
berkata perokok sepatutnya mempunyai kesedaran sendiri untuk tidak
berbuat demikian.
"Orang yang sudah berumah tangga biasanya ada kesedaran sendiri dan lihat sekeliling dulu sebelum merokok. Orang muda seperti yang baru lepas SPM ini buat tak tahu saja," kata pemuda berusia 32 tahun itu.
Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (Mscspga) - yang turut menyertai demonstrasi 13 November lalu - berkata langkah itu menafikan hak mereka selaku pemilik perniagaan untuk membuat keputusan.
Ketika ditanya tentang bantahan itu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan tidak akan berganjak daripada keputusan itu dan kepentingan awam lebih utama.
Bagaimanapun Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (Permas) berharap restoran diberi kelonggaran untuk menyediakan ruang khas buat perokok.

"Bagitahu apa sebabnya. Jika sebabnya mengganggu orang lain, ada baiknya sediakan tempat untuk merokok daripada haramkan terus," katanya yang bekerja sendiri.
Bagi Aiman Azhar, 24, dan Farid Abdullah, 26, keadaan sekarang - di mana pelanggan yang merokok duduk di bahagian luar restoran makanala yang tidak merokok di dalam - sudah baik untuk semua pihak.

"Di restoran kita ada rasa hormat, kita cari tempat duduk di luar. Keluarga saya tak merokok, sebab itu saya hormat orang lain," kata Aiman.
"Perokok sudah terbiasa dan susah nak buang tabiat itu, Kedai makan biasanya ada dua kawasan - luar dan dalam. Dan kawasan luar itu sudah dianggap untuk perokok," kata Farid pula.
Berhubung cadangan ruang khas untuk perokok, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata kerajaan akan membincangkan perkara itu tetapi beliau tetap tidak menggalakkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.