KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa untuk membawa isu mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) untuk dibahaskan di Parlimen sebelum  menandatanganinya.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, isu ini perlu dibahaskan secara menyeluruh khususnya semua ahli Parlimen yang mewakili rakyat kerana ia melibatkan kuasa Yang Di-Pertuan Agong, selain kepentingan masyarakat Melayu, Bumiputera Sabah, Sarawak dan beberapa perkara lain yang berkaitan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, dalam isu ini beliau sendiri  telah mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 26 berkenaan perkara ini, yang juga telah disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

"Jadi saya berharap kerajaan akan memberi laluan untuk usul ini dinaikkan dan dibahaskan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berhubung jawapan sewaktu Jawapan Menteri (MQT), bagaimanapun Kerajaan tidak memberikan komitmen bahawa perkara ini akan dibawa ke Parlimen," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan di Parlimen hari ini.

Jelasnya, dalam isu ini  masih ramai yang tidak faham akan tujuan sebenar ICERD ini, justeru beliau berpandangan Parlimen adalah platform terbaik untuk kerajaan membuat penjelasan secara terperinci sekaligus mendapatkan maklum balas daripada ahli-ahli Dewan Rakyat sebelum kerajaan bertindak untuk mengesahkan konvensyen tersebut kerana ia mampu melibatkan implikasi yang besar kepada negara dan rakyat.

"Walaupun kerajaan telah menjelaskan bahawa ratifikasi konvensyen ini boleh dibuat dengan pengecualian tanpa melibatkan pindaan kepada undang-undang sedia ada.

"Hakikatnya, komitmen dalam sesebuah Konvensyen antarabangsa seperti ICERD pastinya akan mendesak dan menekan negara kelak untuk membuat pindaan undang-undang yang selari dengan pendirian Konvensyen ini untuk menghapus sebarang bentuk diskriminasi kaum," katanya.