
KUALA LUMPUR: Pemuda Umno memberi jaminan kepada PPBM bahawa parti Melayu terbesar itu bersamanya apabila mereka berdepan penentangan parti lain dalam Pakatan Harapan berhubung isu mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti Islam terbesar, PAS juga akan bersama mereka menghadapi tekanan itu.
“Baguslah mereka sudah sedar kemarahan dan keresahan rakyat rentetan daripada Himpunan Bantahan Rakyat terhadap ICERD yang dianjurkan Pemuda Umno, Pemuda PAS dan NGO Ahad lalu. Mudah-mudahan mereka akan terus konsisten dan tidak berganjak dengan pendirian ini walaupun berkemungkinan besar disergah parti-parti komponen yang jauh lebih besar bilangan ahli Parlimen berbanding PPBM yang hanya ada 14 orang,” katanya.
Beliau mengulas pendirian Pemuda PPBM hari ini yang menolak proses mengesahkan ICERD sekiranya ia melemahkan atau menghakis fungsi dan kesan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, sistem raja berperlembagaan, kedudukan Islam dan mana-mana hak termaktub dalam perlembagaan.
Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pendirian itu berdasarkan persefahaman dan ketetapan bersama parti komponen PH untuk meneruskan dan menyejahterakan Malaysia melalui asas dan dasar sedia ada, dan sebarang bentuk mengubah dan menggubal dasar kenegaraan hanya boleh dibuat melalui proses Parlimen.
Asyraf dan Ketua Pemuda PAS Khalil Hadi serta pimpinan NGO mengembleng bantahan terhadap ratifikasi ICERD menerusi satu tunjuk perasaan di ibu negara pada Ahad. Asyraf berkata mereka akan mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi menerangkan bantahan mereka terhadap ICERD kepada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan