Selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat Perlembagaan Persekutuan, kini giliran Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu isu sensitiviti agama dijaga.
Baginda bertitah, isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dikhuatiri boleh menggugat keharmonian dalam negara ini jika dibiarkan berterusan berlaku.
Jelas baginda sememangnya isu yang menyentuh berhubung sensitiviti agama termasuk agama Islam agak membimbangkan ketika ini.
“Islam mendidik umatnya supaya mengamalkan konsep saling bekerjasama, mempercayai dan bertoleransi antara satu sama lain.
“Saya menasihatkan umat Islam khususnya di negeri ini supaya mengamalkan tiga konsep ini dalam warna-warni kehidupan kita,” titah baginda ketika menyempurnakan Konvensyen Fatwa Peringkat Negeri Pahang di sebuah hotel di Kuantan pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.
Berhubung konvensyen itu, Tengku Abdullah berharap ia memberi manfaat dan meningkatkan kefahaman umat Islam terhadap fungsi serta pengurusan dana wakaf yang terbaik.
“Konvensyen ini adalah langkah bijak dalam meningkatkan lagi kefahaman terhadap sistem wakaf selain pengurusan dana wakaf untuk pembangunan sosioekonomi umat Islam.
“Pengurusan dana wakaf perlu memainkan peranan lebih proaktif untuk mencari dana termasuk mencari pelabur berminat untuk menjalinkan kerjasama membangunkan tanah wakaf,” titah baginda.
Baginda bertitah, program wakaf juga perlu terus diperkasakan selari dengan arus pemodenan negara ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.