Halaman

Sabtu, 17 November 2018

KONGRES PKR: KETIADAAN RAFIZI BUKAN ISU BESAR – NIK NAZMI




Semua pihak tidak perlu memperbesarkan isu ketiadaan Rafizi Ramli pada perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Khamis malam, kata Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, semua pemimpin kanan PKR bebas membuat keputusan sama ada mahu hadir atau sebaliknya pada perasmian persidangan itu.

“Kenapa ketidakhadiran Rafizi juga yang kamu persoalkan..tidak pula tanya kenapa Ketua Umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) tidak datang?

“Program malam tadi pun hanya perasmian persidangan Wanita dan AMK, bukan perasmian persidangan peringkat nasional.

“Bagi saya tidak timbul soal siapa datang siapa tidak datang..itu adalah warna warni kongres kita pada kali ini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) di Shah Alam pada Jumaat.

Kongres Wanita dan AMK Pusat dirasmikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebelum ini, Mohamed Azmin meminta semua pihak tidak menjadikan isu berhubung ketidakhadiran Rafizi ke majlis perasmian kongres Wanita dan AMK.

Pemilihan PKR menyaksikan Mohamed Azmin berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Mohamed Azmin secara keseluruhan mendapat 70,550 undi, sementara Rafizi memperoleh 66,594 undi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.