KUALA LUMPUR: Segala
harapan rakyat membuat perubahan menukar teraju negara daripada
pemerintahan BN kepada Kerajaan PH hingga kini masih jauh dari memenuhi
impian dicitakan, sebaliknya menempuh kekecewaan dan pelbagai polemik.
Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah
(UMMAH), Kamaruzaman Mohamad berkata, sentimen rakyat mahukan kerajaan
baharu yang lebih baik daripada pemerintahan terdahulu daripada pelbagai
sudut.
“Sebelum ini rakyat dibebankan dengan
kenaikan harga barang keperluan yang sangat melampau dan di luar
daripada kemampuan disebabkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Di bawah pemerintahan Kerajaan PH, GST
dihapuskan, tetapi diperkenalkan kembali semula kepada sistem lama iaitu
Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Harga barang terus meningkat,
rakyat terseksa, tertekan dengan kenaikan gaji pula tidak berlaku.
“Di mana janji-janji manifesto PH tidak
berlaku iaitu gagal dalam memberikan satu kehidupan lebih baik yang
diharapkan rakyat dari perubahan yang mereka lakukan dengan menukar
kerajaan,” ujarnya dalam temubual bersama NTH Online Media, di sini
kelmarin.
Menurut beliau, Majlis Tindakan Ekonomi
Melayu (MTEM) pernah membentangkan laporan yang menunjukkan kedudukan
ekonomi orang Melayu, termasuk pendapatan isi rumah, adalah paling
rendah berbanding bangsa Cina dan India dalam negara ini.
Katanya, sejak sekian lama di bawah BN
rakyat tidak merasa semakin baik, malangnya diterajui PH menyaksikan
Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini juga telah meminggirkan
golongan B40.
Belanjawan tersebut ujarnya, seolah-olah
melupakan golongan majoriti dan masih memerlukan bantuan menyebabkan
kehidupan mereka di kampung serta para petani dan nelayan terus
terhimpit.
Sensitiviti diusik
Pada temubual membicarakan isu “Melayu
dan Islam diancam” itu, beliau turut menyuarakan tindakan-tindakan PH
yang mutakhir ini semakin tidak menjaga sensitiviti, bahkan mencabar
banyak perkara penting dalam negara.
Terangnya, sebelum PRU14, NGO-NGO serta
NGI telah menyuarakan kebimbangan terhadap asas-asas dan tonggak negara
yang semakin terhakis kerana sering dipertikai pihak politik tertentu
hingga mendatangkan unsur ancaman dan gugatan.
Sehubungan itu katanya, mereka telah
menyeru supaya pengundi memastikan pilihan diberi kepada parti yang
boleh menjamin kedudukan Islam dan Melayu serta Bumiputera Sabah dan
Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan terus terpelihara.
Kemukanya, namun dapat dilihat selepas
PRU14 ketika berlaku kelewatan proses perkenan pelantikan Peguam Negara,
Tommy Thomas oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V,
baginda dikecam oleh netizen pelampau daripada pihak PH.
“Kerajaan yang ada ini bukan sahaja
tidak boleh diharap untuk menjaga ketinggian kedudukan YDPA dan
institusi istana, bahkan dilihat menjadi pelopor kepada ruang
memperlekehkan kedudukan Majlis Raja-raja,” kesalinya.
Dasar bercelaru
Beliau turut menyentuh mengenai
pengesahan pengiktirafan Kerajaan PH kepada Sistem Peperiksaan Bersepadu
(UEC) di mana disifatkannya merupakan sistem pendidikan swasta yang
terkeluar, bahkan menderhaka kepada Dasar Pendidikan Negara (DPN).
“Bagaimana satu sistem yang dibina atas
penderhakaan terhadap sistem pendidikan negara boleh diberi
pengiktirafan? Mereka melahirkan generasi yang jauh daripada matlamat
DPN.
“Menunjukkan Kerajaan PH bukan sekadar
lemah memperjuang dan mempertahan DPN, malah mengambil jalan mengiktiraf
UEC. Sepatutnya sebagai kerajaan kena bertegas dengan mereka itu,”
tegasnya.
Kamaruzaman juga mempertikai tindakan
Kerajaan PH memberi wang rakyat sebagai peruntukan kepada sekolah
mubaligh dan swasta Cina yang didirikan dengan motif keuntungan
perniagaan.
Bentaknya, pengagihan tersebut adalah
tidak adil sedangkan sekolah swasta berkenaan sangat berkemampuan hingga
memiliki prasarana yang jauh lebih baik daripada sekolah kebangsaan.
Menurut pemimpin rakyat ini, sepatutnya
Kerajaan PH mengembali dan memperkasakan semula banyak hak serta
kepentingan rakyat yang susut sepanjang pemerintahan BN antaranya dalam
pendidikan melibatkan biasiswa dan kouta, kerana diganti oleh pinjaman
PTPTN dan sistem meritokrasi.
Malangnya yang terjadi pula kata beliau,
peruntukan ke bidang pendidikan banyak dikurangkan, janji Manifesto PH
berkenaan PTPTN gagal ditunaikan, malah memberi pula lebihan tempat ke
Matrikulasi kepada kaum lain, serta mengiktiraf UEC.
Suara tokoh negara
Ceritanya, Himpunan Kebangkitan Ummah
pada 26 Julai di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru menyaksikan
ramai tokoh negara turut hadir menyatakan ketidakpuasan hati terhadap
Kerajaan PH
Antara disuarakan adalah kebimbangan
bekas Ketua Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Dato’ Seri Zaman Khan
terhadap cubaan menghapuskan Akta Hasutan yang boleh memberi ancaman
terhadap kedaulatan negara.
Sedangkan, akta tersebut bertujuan
menyekat sesiapa sahaja yang berniat jahat menyentuh perkara-perkara
penting termasuk melibatkan keistimewaan orang Melayu, kedudukan Islam
dan Majlis Raja-raja dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sekiranya akta ini dihapuskan, akan ada
pihak yang bebas tidak menghirau sensitiviti masyarakat, sekali gus
membuka ruang kepada kedudukan yang tidak baik untuk negara,” ujar
Kamaruzaman mengungkap peringatan Zaman.
Malah menurutnya, para tokoh juga
menyuarakan bahawa usaha dan polisi dilakukan ahli-ahli politik daripada
PH dilihat banyak yang bertentangan dengan perkara terdapat dalam
Perlembagaan Persekutuan. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan