Wartawan Watan-Online
Tindakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mendedahkan dokumen audit Rancangan Makanan Tambahan (RMT) memakan dirinya sendiri apabila dokumen tersebut menunjukkan kepincangan yang berlaku pada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri di kementerian tersebut.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata Laporan Ketua Audit Negara dan Respon Perbendaharaan yang didedahkan Maszlee dalam laman Facebook rasmi beliau menunjukkan tempoh 2013 hingga 2015 iaitu sebelum Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik ke jawatan Menteri Pendidikan.
“Kalau nak ikut dokumen memo dalaman yang didedahkan oleh Dr Maszlee pun, audit tersebut bermula 2 Ogos 2015. Datuk Seri Mahdzir Khalid jadi Menteri Pendidikan beberapa hari sahaja sebelum itu, 28 Julai 2015.
“Agaknya kalau ada sebarang kelemahan yang didapati dalam audit, kelemahan itu di bawah pentadbiran siapa sebagai Menteri Pendidikan?,” soal beliau melalui laman Facebook miliknya pada Selasa.
Sebagai info, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawat jawatan sebagai menteri pendidikan pada tahun 2009 hingga 2013 dan 2013 hingga 2015.
Mengulas lanjut, Shahril berkata isu RMT yang dibangkitkan ahli Parlimen UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin di dalam parlimen.
Justeru sebagai seorang menteri, Maszlee wajar menjadi seorang yang budiman dengan memberi jawapan di dalam parlimen dan bukan dalam laman Facebook.
“Menteri ada ruang dalam penggulungan kementerian minggu depan untuk menjawab persoalan yang dikemukakan KJ (Khairy Jamaluddin).
“Tindakan menteri ini hanya menunjukkan kelemahan beliau yang jelas tidak memahami asas kepada masalah yang dihadapi oleh pihak kementerian sendiri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan