Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin hari ini menafikan dakwaan partinya sedang ‘memancing’ anggota Parlimen daripada Umno agar menyertai partinya.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa Bersatu mewujudkan pasukan petugas khas bagi tujuan itu.
“Saya fikir jika ada anggota Umno, baik peringkat pucuk pimpinan tertinggi mahupun peringkat bahagian, berhasrat menyertai Bersatu, itu adalah pilihan mereka.
“Parti (Bersatu) terbuka kepada semua, bukan sahaja kepada anggota Umno tetapi juga bukan anggota Umno atau individu yang mahu menyertai parti ini, mereka dialu-alukan,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Rakyat, di lobi Parlimen.
Menteri Dalam Negeri itu turut menegaskan tindakan sesetengah individu untuk menyatakan sokongan kepada parti tertentu adalah pilihan individu tersebut.
Semalam, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mendakwa wakil rakyat Umno sedang dipancing oleh parti lain agar menyertai mereka.
Sementara itu, ditanya mengenai desas-desus rombakan kabinet dalam masa terdekat. Muhyiddin berkata beliau tidak tahu mengenainya.
“Saya tidak pasti tentang perkara itu, tapi bagi saya sendiri saya tidak ada mendengarnya,” katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.