Wartawan Watan-Online
Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akhirnya mengakui keputusan jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) parti itu tidak telus dan tidak adil dalam mengendalikan pilihan raya parti.
Beliau mempertikai keputusan yang diumumkan JPP hari ini termasuklah pendirian untuk tidak mengadakan pemilihan semula di cabang Julau.
Rafizi dalam satu kenyataan pada Selasa mendakwa keputusan untuk tidak meneruskan pengundian dibuat JPP selepas menerima desakan kerana jika diadakan semula ia memihak kepadanya.
“Sudah tentu saya berpendapat keputusan-keputusan JPP pada hari ini adalah tidak adil kepada saya dan rakan-rakan lain serta anggota parti keseluruhannya.
“Apabila masalah data di cabang Pensiangan diselesaikan, dijangkakan saya hanya ketinggalan sekitar 2,000 undi di belakang Mohamed Azmin Ali.
“Pengundian semula di cabang Julau akan memberi kelebihan secara keseluruhan kepada saya jika jumlah pengundi yang keluar melebihi 2,000 orang.
“Saya tahu JPP didesak untuk tidak meneruskan dengan pengundian semula, walaupun sebelum itu JPP sendiri yang mengakui sistem e-voting di Julau telah digodam dan tablet-tablet telah dicerobohi,” katanya.
Rafizi turut merujuk kenyataan JPP awal hari ini yang mengumumkan tiga keputusan berhubung pemilihan semula di beberapa cabang yang telah diadakan dan penerimaan undi ragu.
Pengerusi JPP Rashid Din dalam kenyataannya berkata keputusan untuk tidak mengadakan pemilihan semua di Julau adalah kerana analisis pihaknya mendapati tiada data atau undi yang hilang.
Bagaimanapun beliau mengesahkan sistem e-undi dalam enam tablet yang digunakan telah “disapu bersih” oleh perisian anti-kecurian Prey.
Mengulas perkara itu, Rafizi membidas JPP dengan menyifatkan keputusan itu sebagai tidak masuk akal dan bercanggah dengan kenyataan awal JPP berhubung insiden yang melibatkan perisian antikecurian Prey.
“Ia adalah kenyataan yang 100 peratus bertentangan dengan kenyataan awal yang dikeluarkan oleh JPP sendiri.
“Kenyataan dan keputusan yang bertukar-tukar ini menyebabkan ahli parti semakin hilang keyakinan dengan kredibiliti keseluruhan proses pemilihan dan keputusannya,” katanya.
Katanya JPP gagal menguruskan pemilihan dengan baik dan menerangkan perkara-perkara yang diputar belitkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.