Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan UMNO dan PAS akan terus menjalinkan kerjasama atas nama Islam dan penyatuan ummah seperti yang dimahukan oleh rakyat di negara ini.
Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengaitkan kerjasama UMNO dan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands tempoh hari sebagai gabungan parti Islam PAS dan ‘parti kafir’.
‘Parti kafir’ merupakan label yang sering diberikan kepada UMNO oleh PAS terutama semasa UMNO diketuai oleh Tun Dr. Mahathir.
“Terdesak sungguh nampaknya Tun, saya kesian dan simpati.
“Sekurang-kurangnya UMNO sudah melepasi era 22 tahun Tun sebagai Presiden UMNO dulu yang sentiasa tanam perasaan benci pada PAS,” katanya melalui kenyataan di laman sosial beliau pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata kekurangan dan kesilapan dahulu akan dijadikan iktibar untuk meneruskan perjuangan mendaulatkan agama dan menjaga kebajikan rakyat Malaysia.
“Kelemahan dan kesilapan lampau akan dijadikan iktibar kerana yang lebih mustahak adalah untuk maju ke hadapan memastikan Islam terpelihara dan kepentingan rakyat tanpa mengira agama dan kaum terbela,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.