Seorang
pelanggan membaca risalah pewartaan tempat larangan merokok semasa
tinjauan lensa MalaysiaGazette. foto SYAFIQ AMBAK
KUALA LUMPUR – Tiada arahan mahkamah untuk memberhentikan
atau menangguhkan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat
makan.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
berkata, mesej yang tular di media sosial sebelum ini tidak benar
kononnya mahkamah telah memerintahkan larangan merokok di tempat makan
ditangguhkan serta merta.
Beliau berkata, ia adalah satu berita palsu yang disengajakan oleh pihak tidak bertanggungjawab di luar sana.
“Sehingga kini tiada sebarang arahan mahkamah yang mememinta
menghentikan atau menangguhkan larangan merokok di tempat makan,” kata
kementerian dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Justeru, KKM juga mengingatkan semua pihak agar terus mematuhi
peraturan ini dan KKM akan terus menjalankan aktiviti penguatkuasaan
pendidikan sehingga Jun ini diikuti penguatkuasaan sepenuhnya bermula 1
Julai 2019.
“Pelaksanaan larangan merokok di tempat makan dibuat selaras dengan
komitmen Malaysia kepada Artikel 8, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
Framework Convention on Tobacco Control dalam melindungi orang awam
terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap
produk tembakau dan rokok,” ujar beliau.
Semua lapisan masyarakat diseru agar menerima pelaksanaan larangan
merokok ini sebagai langkah yang positif bagi meningkatkan tahap
kesihatan seluruh rakyat Malaysia.
“Pelaksanaan ini juga dapat membudayakan amalan tidak merokok
terutama di kalangan kanak-kanak dan remaja, selaras dengan hasrat
Kerajaan bagi mencapai sebuah negara yang bebas daripada sebarang bentuk
amalan merokok,” tegas beliau.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.