Sebagai Adun tunggal yang mewakili parti kerajaan persekutuan pada sidang DUN Kelantan, Mustapa Mohamed (Ayer Lanas-Bersatu) mengambil sikap bertenang.
Menurutnya, sebagai orang lama beliau perlu tampil bertenang walaupun keseorangan berdepan wakil rakyat daripada parti kerajaan negeri iaitu PAS dan sekutunya, Umno.
"Tak ada masalah, macam biasa saja. Kita orang lama kena pandai relaks.
"Kalau tidak relaks, nanti tekanan darah tinggi pula," katanya berseloroh ketika ditanya pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Beliau hadir bagi mengikuti hari kedua Persidangan DUN Kelantan Penggal Kedua Kali Ke-14 yang bermula, semalam.
Bekas anggota majlis tertinggi Umno yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Pa itu menyertai Bersatu pada hujung Oktober tahun lalu.
Pada 18 September 2018, Mustapa mengumumkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun berjuang dalam parti itu, antaranya kerana percaya hala tuju parti tidak lagi selari dengan prinsip politiknya dan "tidak banyak usaha dibuat untuk melakukan proses rejuvenasi" secara dalaman.
Katanya, keputusan itu diambil berdasarkan beberapa pemerhatian terhadap lanskap politik negara, hala tuju Umno dan BN serta masa depan negara.
Sementara itu pada sesi soal-jawab lisan, Mustapa berkesempatan melontarkan soalan tambahan menyentuh isu pembangunan Projek Pangkalan Perbekalan Tok Bali (TBSB).
Mengulas perkara itu kata, kawasan itu perlu menjadi satu kawasan perindustrian baru di negeri itu dan tidak hanya terhad sebagai pelabuhan melibatkan industri petroleum dan gas semata-mata.
Menurut kerajaan negeri katanya, TBSB akan beroperasi sebagai pelabuhan industri lain seperti pengeksportan minyak sawit penempatan kargo dan penumpang.
"Kalau benar mengikut kenyataan exco permohonan telah dibuat untuk jadikan TBSB sebagai pelabuhan penuh, saya akan semak semula sebab apa yang saya tahu belum ada lagi (permohonan). Apa-apa pun perlu disemak.
"Kalau dah boleh eksport selain petroleum dan gas ia satu perkembangan baik, dan perlu disemak pastikannya berlaku dan kita sokonglah supaya pelabuhan ini diperbesarkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.