
Kemunculan bazar–bazar Ramadan ini banyak memberi manfaat kepada semua pihak sama ada pihak pengunjung mahupun pihak peniaga bazar itu sendiri. Dengan adanya bazar–bazar Ramadan ini, semua pihak tidak perlu lagi berhempas pulas untuk menyediakan pelbagai jenis juadah makanan dan minuman khususnya apabila tiba waktu untuk membuka puasa (Iftar).
Pembelian pelbagai jenis juadah di bazar Ramadan untuk penyediaan berbuka puasa (Iftar) serta untuk penyediaan bagi waktu sahur di awal pagi dapat dapat menjimatkan masa dan tenaga masyarakat masa kini yang sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan.
Pada masa yang sama juga, bazar–bazar Ramadan ini dapat memberi ruang dan peluang kepada pihak–pihak tertentu untuk mencari sumber pendapatan dengan menjalankan pelbagai jenis aktiviti perniagaan.
Pelbagai jenis aktiviti perniagaan yang boleh dijalankan sepanjang bulan Ramadan ini seperti dengan menjual juadah makanan serta minuman, pakaian, barangan dapur, dan lain–lain lagi.
Bagi memastikan bazar–bazar Ramadan ini kekal relevan dalam negara kita serta kekal dihati setiap anggota masyarakat adalah penting supaya semua pihak yang terlibat mengambil segala langkah yang perlu untuk menjayakan kemunculan bazar–bazar Ramadan ini.
Keutamaan perlu diberikan terhadap aspek keselamatan dan kebersihan oleh semua pihak yang terlibat dengan bazar–bazar Ramadan sama ada pihak kerajaan, peniaga mahupun pihak pengunjung.
Kerajaan harus memastikan setiap tapak bazar Ramadan berada di lokasi yang selamat dan sesuai untuk semua pihak yang terlibat sama ada pihak peniaga ataupun pihak pengunjung. Pihak berkuasa tempatan tidak harus membenarkan penyediaan sebarang tapak bazar Ramadan di mana–mana lokasi yang boleh mengundang bahaya kepada peniaga serta pengunjung seperti di tepi jalan raya yang sesak dengan lalu lintas serta kawasan yang berhampiran dengan semak samun.
Malah, kerajaan juga harus memastikan aspek kebersihan ditapak bazar Ramadan berada dalam keadaan baik dan sempurna pada setiap masa. Penjagaan aspek kebersihan ini amat penting terutamanya terhadap juadah makanan dan minuman yang dijual di dalam bazar Ramadan.
Kementerian Kesihatan khususnya dengan kerjasama pihak kerajaan tempatan perlu aktif melakukan proses pemantauan dan pemeriksaan mengejut di setiap tapak bazar Ramadan yang didirikan dalam negara kita sepanjangan bulan Ramadan Al–Mubarak kelak.
Tindakkan keras undang–undang perlu diambil terhadap mana–mana pihak yang gagal mematuhi segala jenis peruntukkan undang–undang mengenai aspek kebersihan ini seperti yang termaktub dibawah Akta Makanan 1983, Peraturan–Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan–Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Pihak peniaga juga harus mengambil tanggungjawab terhadap segala barangan dan perkhidmatan yang mereka jual kepada pihak pengguna di dalam bazar Ramadan. Mereka perlu memastikan segala barangan dan perkhidmatan yang dijual mereka adalah berkualiti tinggi, bersih serta selamat untuk dibeli dan digunakan oleh semua pengguna.
Para peniaga tidak boleh mengamalkan sikap tamak serta mengutamakan proses keuntungan semata–mata ketika berniaga. Pihak peniaga perlu memastikan proses penjualan barangan dan perkhidmatan mereka mematuhi segala jenis peruntukkan undang–undang yang ada dalam negara kita seperti Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999, dan lain – lain lagi.
Peniaga juga harus memastikan mereka menjaga aspek kebersihan tapak perniagaan mereka di bazar
Ramadan, sama sekali tidak boleh mengharapkan pihak berkuasa untuk melakukan aktiviti pembersihan tapak – tapak bazar Ramadan pada setiap masa.
Para peniaga harus memberi kerjasama untuk menghantar segala sampah sarap ke tempat khas yang telah disediakan atau mengambil inisiatif sendiri dengan menyediakan sebuah tempat khas bagi membuang segala jenis sampah sarap setelah selesai menjalankan aktiviti perniagaan mereka.
Pihak peniaga harus memastikan segala sampah sarap yang telah dihasilkan tidak menjadi tempat pembiakan binatang serta serangga yang berbahaya seperti tempat pembiakan nyamuk dan lalat, menjadi sarang tikus, serta menjadi tempat pungutan makanan oleh kucing ataupun anjing –anjing liar.
Pihak pengunjung atau pengguna bazar – bazar Ramadan juga perlu memainkan peranan mereka. Pihak pengunjung bazar Ramadan tidak boleh meletakkan kenderaan mereka dengan sesuka hati di mana–mana sahaja hingga menjejaskan laluan trafik serta keselamatan perjalanan orang yang lalu lalang di bazar Ramadan.
Adalah penting supaya pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menempatkan sekurang–kurang dua orang pegawai mereka di setiap tapak bazar Ramadan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini daripada berlaku.
Pengunjung bazar Ramadan juga harus memberi kerjasama untuk menjaga aspek kebersihan tapak bazar Ramadan dengan tidak membuang sampah sarap di merata-rata tempat. Sikap berjimat cermat serta tidak boros berbelanja harus disemai di dalam minda dan hati semua pengunjung di bazar Ramadan.
Jangan jadikan bulan Ramadan Al-Mubarak sebagai bulan untuk melakukan pembaziran serta kerosakan. Semua pihak harus memastikan supaya kedatangan bulan Ramadan Al–Mubarak pada tahun ini membawa barakah dan rahmat untuk semua pihak. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.