HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 Mei 2019

Beg plastik hitam dengan bungkusan makanan

Sinar Harian
Beg plastik hitam dengan bungkusan makanan
Beberapa plastik hitam yang mengandungi bungkusan makanan dipercayai untuk dijual kepada orang Islam tidak berpuasa. - Foto Sinar Harian
 

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengesan kewujudan plastik hitam mengandungi bungkusan makanan dipercayai untuk dijual kepada pelanggan Muslim yang tidak berpuasa.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, bagaimanapun hasil pemantauan di beberapa premis makanan semalam tiada individu Muslim yang ditangkap kerana makan di premis.

Beliau berkata, beberapa individu Muslim yang ditemui di premis-premis tersebut diberikan nasihat agar menghormati bulan Ramadan.

"Kita nasihatkan orang Islam dan peniaga supaya menghormati kesucian bulan Ramadan. Tindakan boleh diambil ke atas mana-mana individu yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan makan secara terbuka di tempat awam.

"Malah, ada individu bukan Islam yang lapor kepada JAIPk bahawa mereka tidak selesa melihat tindak tanduk orang Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Mohd Yusop berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan secara mengejut di premis-premis tumpuan individu yang menjadi pilihan individu tidak berpuasa ini.

Beliau turut menasihati pemilik premis supaya tidak bersekongkol dengan menyediakan makanan kepada mereka pada siang hari.

"Mereka ini sepatutnya malu dengan orang bukan Islam kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak selesa melihat keadaan itu.

"Kita mengalu-alukan mana-mana pihak untuk membuat laporan kepada JAIPk jika ada kegiatan menjual makanan atau makan di premis pada siang hari," katanya.

Tiada ulasan: