Halaman

Jumaat, 3 Mei 2019

JANGAN PERGUNA RAJA UNTUK ALIH ISU

WATAN ONLINE


Politikus yang memegang tampuk kekuasaan diingatkan untuk tidak memainkan sentimen permusuhan terhadap institusi diraja bagi mengalihkan perhatian terhadap kegagalan pentadbiran dan pengurusan negara.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata Raja-raja Melayu tidak wajar dipersalahkan berikutan kuasa yang ada pada mereka terhad dan bukan melaksanakan sebarang dasar yang mencengkam rakyat.

“Raja-raja tidak bertindak menyusahkan rakyat. Baginda tidak membuat dasar, baginda tidak berparti dan berpuak. Baginda tidak berkempen, baginda tidak menguruskan wang rakyat.

“Tapi kita orang politiklah yang lakukan segalanya. Salah tindakan kita terutamanya yang berkuasa maka rakyat menanggung akibatnya.

“Kita yang bertanggungjawab mencukai rakyat, bukan raja. Kita yang bertanggungjawab membuat segala lantikan. Kita orang politik yang buat segala kempen dan janji,” katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Justeru, Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh menyeru ahli politik supaya memperbaiki diri dan melihat kesalahan sendiri sebelum menuding kepada orang lain.

Katanya isu seperti kos sara hidup, ekonomi negara, kedaulatan undang-undang, harga barang serta integriti terletak pada tangan ahli politik dan bukan raja.

Beliau turut mengingatkan ahli politik untuk tidak terperangkap dalam perebutan kuasa sehingga mengheret institusi diraja.

“Usah alih pandangan untuk membenci Raja. Kita dan saya sendiri telah lalui pengalaman yang banyak mengajar kita. Usah terperangkap dengan perebutan kuasa hingga mahu mengheret Raja-raja.

“Kita orang politik boleh menjadi rakus dengan kuasa dan bukannya Raja yang punya kuasa terhad sebagai raja berpelembagaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.