Halaman

Ahad, 5 Mei 2019

Kertas Konsultasi Rakyat dibentang bulan ini

Wartawan MalaysiaGazette
MGF05122018_PC-PTPTN13-681x454
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
 

SINTOK- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan membentangkan dokumen dan maklumat berhubung mekanisme baharu pembayaran balik pinjaman dalam Kertas Konsultasi Rakyat bulan ini.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya sedang menunggu lampu hijau daripada tiga menteri yang diminta untuk meneliti cadangan yang dikemukakan dalam kertas tersebut.

Tiga menteri berkenaan adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Menurut Wan Saiful, PTPTN mengambil kira semua pandangan rakyat dan menghimpunkan semua idea yang dimukakan oleh pakar-pakar berkaitan sejak Disember sehingga Mac lalu.

Kesemua maklumat tersebut dimasukkan ke dalam Kertas Konsultasi Rakyat itu.

“Pengumuman mengenainya akan dibuat dalam tempoh seminggu dua lagi.

“Kita sudah minta (lampu hijau) lebih kurang sebulan lepas… mungkin ada pertimbangan daripada peringkat atas, tapi sebaik saja dapat, kita akan lancarkan,” katanya dalam satu majlis di sini hari ini.

Menurut Wan Saiful, meskipun ada idea yang dikemukan di dalam Kertas Konsultasi Rakyat itu secara peribadi tidak disukainya, namun beliau mengambil sikap akan memasukkan kesemua pandangan tersebut ke dalam kertas berkenaan.

“Sejujurnya ada (idea) yang saya setuju, dan ada yang saya tak setuju tetapi saya ambil sikap bahawa kita kena amanah dengan input yang mereka bagi.

“Ada (pandangan) yang saya agak tidak selesa tapi kita masukkan juga dalam dokumen terbabit dan akan dipersembahkan kepada masyarakat.

“Kita akan cuba laksanakan kerana saya ingin pulangkan kepercayaan rakyat yang diberikan kepada kita untuk mentadbir negara sekali gus jadikannya sebagai panduan untuk bergerak ke hadapan,” katanya lagi.

Kertas yang mengandungi beberapa cadangan baharu itu diperoleh hasil perjumpaan meja bulat PTPTN bersama badan bukan kerajaan (NGO), ahli ekonomi, institusi perbankan serta pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan pelajar, yang diadakan sejak Disember sehingga Mac lalu.

Ia memberi fokus kepada 10 teras yang merangkumi kaedah yang lebih sistematik dan idea pembayaran pinjaman balik selain beberapa perbahasan baru turut diutarakan.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.