HALAMAN SANTAI

Khamis, 9 Mei 2019

Orang bersahur, kau mencuri

Mohd Sabran Md Sani
 
 

LELAKI yang sedang bersahur terkejut mendapati motosikal jenis Kawasaki RR miliknya dicuri dua lelaki dalam kejadian di Jalan Persisiran Perling 1, Taman Perling di Iskandar Puteri, hari ini.

Pemilik motosikal itu, Mohamad Noramiruddin Azlan, 25, berkata, kejadian 4 pagi itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di pasang di luar rumah.

Katanya, kejadian berkenaan disedari abang iparnya selepas melihat topi keledar miliknya itu berada di atas lantai, selain pintu pagar rumah dalam keadaan terbuka.

“Ketika itu abang ipar menyelak langsir rumah untuk melihat sama ada seorang lagi abang ipar kami sudah pulang ke rumah atau sebaliknya.

“Tiba-tiba dia terpandang keadaan topi keledar saya dan pintu rumah dalam keadaan terbuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kerana tidak sedap hati dia keluar melihat topi keledar miliknya sebelum dikejutkan dengan kehilangan motosikal miliknya di kawasan rumah itu.

“Hasil pemerhatian terhadap CCTV mendapati motosikal yang dikunci itu dicuri dua lelaki kira-kira 4 pagi.

“Dua lelaki itu dirakamkan merosakkan pintu pagar automatik dan melarikan motosikal saya dengan menolaknya ke luar rumah,” katanya.

Katanya, motosikal itu dibeli dari rakannya pada tahun lalu dan digunakan ketika mengikuti pengajian di universiti swasta di Bangi.

“Sepanjang tempoh itu, kenderaan itu tidak mengalami sebarang masalah.

“Kebetulan saya baru dua bulan pulang ke rumah keluarga dan kenderaan itu digunakan untuk berulang alik ketika menjalani latihan praktikal di Taman Daya,” katanya.

Menurutnya, kejadian berkenaan bukan pertama kali berlaku, sebaliknya motosikal jenis Yamaha 125 Z pernah dicuri pada tahun 2014.

“Bagaimanapun, ia ditemui polis di Kangkar Pulai dengan keadaannya sudah teruk,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Perling pada 5.20 pagi dan Balai Polis Skudai berhubung kehilangan motosikalnya itu.

Tiada ulasan: