Ambil masa lama baca al-Quran, huruf dibaca satu persatu

JOHOR BAHRU
-Nurul Husna Ibrahim serta beberapa rakan lain tidak dapat menahan sebak sebaik
selesai membaca lafaz penyerahan tanggungjawab (taklif) bersama Guru Besar
sekolahnya, Norhafizah Suhaimi, pada satu majlis di Masjid Sultan Iskandar,
Bandar Dato Onn, di sini.
Pelajar berusia 19 tahun itu adalah
seorang daripada pelajar pekak dan bisu di Sekolah Agama Pendidikan Khas (SAPK)
Johor Bahru, yang turut bersama empat lagi rakannya, membacakan lafaz taklif
menggunakan bahasa isyarat.
Norhafizah, selaku wakil ibu bapa
mereka, juga membacakan lafaz taklif menerusi bahasa isyarat pada Program
Penyerahan Taklif, Khatam Al-Quran dan Majlis Berbuka Puasa Peringkat Perdana
anjuran Pejabat Pendidikan Islam Daerah itu, petang semalam.
Menurut Norhafizah, Nurul Husna telah
kehilangan ibunya akibat barah rahim pada tahun 2014 ketika pelajar itu berusia
14 tahun.
“Semenjak kematian ibunya, Nurul
Husna telah diamanahkan kepada kami iaitu tenaga pengajar di SAPK untuk
dibesarkan,” katanya ketika ditemui selepas selesai sesi taklif tersebut.
Norhafizah berkata, dia percaya
didikan awal daripada ibu bapa amat mempengaruhi peribadi seseorang anak
apabila mereka dewasa.
“Nurul Husna sejak kecil telah
dididik oleh ibunya untuk menjaga solat, menghormati orang tua serta menutup
aurat dan sehingga hembusan nafas terakhir ibunya, Husna masih mengamalkan
setiap ajaran ibunya itu,” katanya.
Tambah beliau, anak bongsu daripada
lima adik beradik itu pernah dilihat sendirian menguruskan arwah ibunya yang
sedang sakit di rumah mereka.
“Saya sendiri tengok Nurul Husna
mandikan ibunya, sikat rambutnya dan dia juga yang uruskan makan minum ibunya
ketika arwah sedang sakit dulu,” kata guru besar sekolah tersebut.
Selepas Nurul Husna tinggal
bersamanya di asrama SAPK, dia telah mengajar gadis itu membaca Al Quran.
Katanya, anak-anak istimewa seperti
Nurul Husna mengambil masa lama untuk membaca al-Quran dengan menggunakan
bahasa isyarat kerana setiap huruf perlu dibaca satu persatu dengan menggunakan
isyarat tangan.
“Di SAPK, kita ada sembilan orang
tenaga pengajar yang mahir menggunakan kaedah fakih dalam usaha memastikan
murid-murid kelainan upaya ini juga mampu membaca Al Quran,” katanya.
Dalam menyampaikan ilmu kepada
pelajar istimewa ini, tenaga pengajar perlu memiliki sifat sabar yang tinggi
dan istiqamah untuk mengulangi sesuatu ilmu yang disampaikan setiap hari, agar
ilmu tersebut melekat pada anak-anak istimewa itu.
Dia yang lebih mesra dipanggil Ummi
di sekolah itu berkata, silibus yang ditetapkan oleh kurikulum pendidikan
sekolah agama kerajaan negeri Johor juga terpaksa direndahkan agar anak-anak
ini menguasai sepenuhnya asas Fardhu Ain dalam Islam.
SAPK Johor Bahru kini mempunyai
seramai 67 orang pelajar dan jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat
lantaran ramai ibu bapa yang kian sedar akan pentingnya pendidikan agama kepada
annak-anak kelainan upaya.
Norhafizah juga berharap agar program
seperti ini dapat diteruskan lagi bagi memberi peluang dan ruang kepada
anak-anak kelainan upaya untuk turut serta dalam aktiviti berkenaan. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan