THE MALAYSIAN TIMES
GEORGE TOWN: Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan rapi kejadian sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas, dekat sini yang mengalami sesak nafas selepas terhidu gas iodin semasa menjalankan ujikaji di makmal sekolah itu semalam.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya hari ini berkata siasatan bertujuan mengenal pasti punca kejadian.
“Untuk makluman, pihak sekolah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk dipatuhi apabila mengendalikan ujikaji di makmal. Pihak sekolah juga telah menghulurkan segala bantuan yang diperlukan kepada kesemua pelajar yang terlibat dalam menghadapi situasi ini,” menurut kenyataan itu.
Kejadian berlaku pagi semalam ketika 19 pelajar dibantu seorang guru sedang menjalankan ujikaji proses pemanasan hablur iodin untuk tindak balas pemeluapan.
Bagaimanapun, berikutan kurang pengudaraan dalam makmal menyebabkan 12 pelajar mengalami sesak nafas dan batuk berterusan.
Seramai 11 pelajar menerima rawatan di sekolah manakala seorang telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan pesakit luar.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.