AR RISALAH الــرســالـة

MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK

Halaman

▼

Jumaat, 31 Mei 2019

Sime Darby percaya EU tak dapat kuatkuasa larangan sawit sepenuhnya

Bernama



KUALA LUMPUR: Minyak sawit Malaysia masih mempunyai tempat dalam pasaran Kesatuan Eropah (EU) walaupun blok dagangan itu memutuskan untuk menyekat penggunaan sawit dalam penghasilan biobahan api, kata Sime Darby Plantation Bhd.

Timbalan Pengerusi Eksekutif, Mohd Bakke Salleh yakin EU akan berdepan beberapa kekangan bagi mendapatkan bahan alternatif minyak sawit berikutan kedudukannya sebagai pengimport bersih minyak itu.

“Kita percaya larangan itu tidak dapat dikuatkuasakan sepenuhnya kerana akan berdepan kekangan dari segi mendapatkan bahan alternatif.
“Eropah merupakan pengimport bersih minyak dan ini pastinya sukar untuk mereka. Oleh itu, kita percaya minyak sawit akan terus mendapat tempat walaupun ketetapan EU terhadap minyak sawit itu akan berubah sedikit,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi suku pertama syarikat itu hari ini.

Ini juga merupakan kali terakhir beliau memberi taklimat kepada media selepas berkhidmat dengan kumpulan Sime Darby selama hampir 9 tahun dan akan bersara sebagai pengarah urusan Sime Darby Plantation pada 30 Jun ini.

Bakke berkata EU sebelum ini membeli minyak sawit bagi tujuan makanan (50%) namun kini penggunaannya bagi produk makanan merosot kepada 40%.

Katanya, kesukaran EU untuk beralih daripada minyak sawit kepada mana-mana minyak makan lain akan membolehkan minyak sawit terus mengekalkan pasaran di sana.

Selain itu, mengulas unjuran harga minyak sawit mentah, Bakke berkata syarikat itu menyasarkan harga komoditi itu akan bergerak dalam lingkungan RM2,000 setan dan RM2,250 setan pada separuh kedua tahun ini.

“Sentimen dan pasaran semasa tidak menarik, terutamanya dengan berlakunya perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China selain diburukkan lagi dengan beberapa faktor lain,” katanya.

Menurut Bakke, sekatan EU terhadap penggunaan minyak sawit dalam biobahan api menjelang 2030 juga turut menjejaskan sentimen.

“Ini pasti memberi kesan terhadap permintaan. Namun, apa yang menarik, walaupun EU membuat keputusan menamatkan penggunaan minyak sawit dalam biobahan api, ia sebaliknya terus meningkatkan pembelian minyak sawit bagi tempoh beberapa bulan akan datang berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Semua ini disebabkan oleh tekanan daripada bekalan minyak biji sesawi. Oleh itu, sudah pasti kuasa pasaran akan turut mempengaruhi keadaan itu,” katanya.

Beliau berkata, keputusan EU untuk menyekat penggunaan minyak sawit juga bukan semata-mata berasaskan alasan alam sekitar, tetapi turut disebabkan faktor lain yang mempengaruhi atau menentukan pendirian EU.

Menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport minyak sawit Malaysia ke EU berkurangan sebanyak 4% kepada 1.91 juta tan pada 2018 berbanding 1.99 juta tan pada 2017.

Selain itu, di peringkat tempatan, Bakke menggesa industri automotif lebih turut terbabit dan menyokong agenda biobahan api kerajaan dalam usaha mengurangkan jumlah bekalannya.

“Selepas program B5 yang dilancarkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1981, kita hanya mampu beralih kepada B7 dan B10 dan keadaan ini masih terlalu perlahan,” katanya.

ELBI RISALAH di 5/31/2019 09:50:00 PTG
Kongsi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

‹
›
Laman utama
Papar versi web
Dikuasakan oleh Blogger.