MINDA RAKYAT
GEORGE TOWN— Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta
Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat pemeriksaan segera ke atas
semua premis pengeluar air minuman botol untuk mengesahkan dari mana
punca air itu diperolehi.
Ini sejajar dengan tindakan pihak
berkuasa Singapura yang menarik balik air minuman jenama Starfresh
daripada pasaran republik itu pada 12 Jun ekoran pencemaran bakteria
Pseudomonas aeruginosa iaitu sejenis bakteria yang ditemui dalam najis,
air dan sisa kumbahan.
Menurut Singapore Food Agency (SFA)
bakteria itu boleh menyebabkan pelbagai jangkitan tetapi jarang
menyebabkan penyakit serius pada individu yang sihat.
Dalam
satu kenyataan akhbar, Presiden Pemangku CAP Mohideen Abdul Kader,
berkata bahawa tindakan serupa juga harus dilakukan di Malaysia jika
produk itu dijual di sini untuk mengelakkan sebarang risiko kesihatan.
“Kita
mahu tahu apa yang akan dilakukan terhadap botol air minuman Starfresh
yang ditarik balik itu, sama ada air akan disterilkan sebelum dibuang,”
katanya.
Beliau juga mengatakan bahawa meminum air yang telah
dimasak menggunakan gelas atau cawan masih merupakan alternatif yang
ideal berbanding air botol kerana bakteria dan klorin yang berbahaya di
dalam air akan terhapus.
“Gelas atau cawan yang kita gunakan itu
boleh dicuci dan tidak seperti botol plastik yang mempunyai
plasticisers yang boleh mengganggu sistem endokrin badan, yang
bertanggungjawab untuk kanser tumor, kecacatan kelahiran, dan gangguan
terhadap perkembangan tubuh badan,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan:
Catat Ulasan