AR RISALAH الــرســالـة

MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK

Halaman

▼

Jumaat, 28 Jun 2019

Rayuan kes ‘bin Abdullah’ diteruskan selepas gagal capai persetujuan

Bernama
Pendengaran semua rayuan JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan
terhadap keputusan membenarkan anak tidak sah taraf beragama 
Islam boleh dibin atau dibintikan kepada bapa akan diadakan 
di Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos ini.
 
PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan 2 pihak lagi gagal mencapai penyelesaian luar mahkamah berhubung kes seorang kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya dan bukan “Abdullah” dalam sijil kelahiran.

Peguam, Nizam Bashir yang mewakili pasangan suami isteri Islam dan anak terbabit, berkata beliau dimaklumkan peguam kanan persekutuan, Mazlifah Ayob yang mewakili pihak kerajaan, penyelesaian di luar mahkamah gagal dicapai.

Justeru, katanya, Jabatan Peguam Negara mahu meneruskan kes rayuan itu.

Perkara itu dibangkitkan dalam pengurusan kes menerusi sistem E-semakan di depan Timbalan Pendaftar, Norhafizah Zainal Abidin, hari ini.

Berikutan perkembangan itu, 7 panel hakim Mahkamah Persekutuan akan meneruskan pendengaran semua rayuan JPN terhadap keputusan membenarkan anak tidak sah taraf beragama Islam boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya pada 16 Ogos ini.

Pada 25 Mei 2017, Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada sepasang suami isteri dan anak mereka yang memfailkan semakan penghakiman untuk mendesak ketua pengarah JPN menggantikan nama “Abdullah” kanak-kanak itu dengan nama bapa kandungnya dalam sijil kelahiran.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulis 25 Julai 2017 memutuskan nama anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah boleh “dibin atau dibinti” nama bapanya, bukannya “Abdullah”.

Hakim, Abdul Rahman Sebli yang menyampaikan penghakiman itu berkata ketua pengarah JPN tidak terikat kepada fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang memutuskan nama “dibin atau dibinti” kepada anak luar nikah.

Pada 8 September 2017, Mahkamah Persekutuan membenarkan JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

ELBI RISALAH di 6/28/2019 10:56:00 PTG
Kongsi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

‹
›
Laman utama
Papar versi web
Dikuasakan oleh Blogger.