ISMA WEB
Bomoh Indonesia ditangkap, senjata api buatan sendiri dirampas

KUANTAN–
Seorang peniaga kedai runcit mendakwa kerugian RM10,000 selepas membeli sebutir
delima merah yang dikatakan sebagai ‘ibu duit’ daripada seorang bomoh warga
Indonesia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan,
Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, mangsa yang berusia 43 tahun membeli
batu delima itu pada 25 Mei lalu, ketika beliau dan isteri bertemu suspek untuk
berubat.
Katanya, suspek yang berusia 46 tahun
telah menunjukkan satu tin yang diisi penuh dengan wang kertas RM100 dan
menawarkan delima merah itu yang dikatakan boleh menggandakan wang.
“Mangsa dipercayai terpengaruh lalu
membeli delima merah itu. Suspek kemudiannya memberi delima merah bersama empat
tin biskut yang didakwa akan dipenuhi duit selepas tempoh tertentu.
“Suspek juga memberi syarat kepada
mangsa untuk tidak membuka tin itu dalam tempoh enam hari,” katanya kepada
pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini,
hari ini.
Kama Azural berkata, mangsa
bagaimanapun kecewa selepas mendapati tiga daripada tin itu kosong, manakala
sebuah lagi dipenuhi sampah selepas membukanya enam hari kemudian.
Sehubungan itu, mangsa membuat
laporan polis yang membawa kepada serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD
Kuantan ke rumah sewa suspek di Jalan Kemaman di sini, pada 14 Jun lalu.
Serbuan itu juga membawa kepada
penemuan selaras senapang api buatan sendiri di rumah yang dipercayai dihuni
suspek seorang diri sejak tiga bulan lalu.
Kama Azural berkata, polis juga
menemui 15 butir batu permata, televisyen pelbagai jenama (tujuh), telefon
bimbit (dua), wang kertas RM100 dan RM50 berjumlah RM5,800 dan beberapa keping
duit syiling lama.
Katanya, suspek yang telah tamat
permit untuk berada di Malaysia kini direman 14 hari bermula 15 Jun lalu bagi
membantu siasatan. –Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.