Kerajaan negeri Johor diminta mempertimbangkan semula
keputusannya untuk mengekalkan had umur belia negeri kepada 40 tahun,
bagi penyeragaman nasional antara persekutuan dan negeri.
“Saya baca dalam surat khabar ini arahan dari pihak istana dan itu saya tidak tahu betul atau tidak.
“Oleh itu, saya minta Menteri Besar dan exco negeri menimbang masak-masak, boleh pergi jumpa dan jelaskan dengan istana,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.
“Kalau tidak esok akan timbul kekecohan, apabila masuk Johor (belia) 40 tahun, keluar Johor, 30 tahun, dan macam-macam kesan yang tidak baik akan timbul,” katanya.
Katanya, penurunan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun menunjukkan kerajaan mengiktiraf peranan anak-anak muda terutama dalam soal kepimpinan.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata kerajaan negeri Johor mengekalkan had umur belia negeri kepada 40 tahun, sehingga pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 diwartakan pada 2021.
Pada 3 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan RUU Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, yang bertujuan antaranya menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata tindakan kerajaan negeri Johor itu akan dibangkitkan di dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kementeriannya komited untuk memperkasa golongan anak muda, walaupun berdepan halangan pihak tertentu.
“Registrar of Youth (ROY) (Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia) jelas di bawah KBS. Kita akan berpendirian tegas. Bila kita janjikan reform kita akan lakukan walau apa pun rintangan terletak di hadapan kita,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.