HALAMAN SANTAI

Sabtu, 13 Julai 2019

Susulan hukuman Wan Ji, Lim gesa DPP baca manifesto PH

MALASIAKINI

   

Pemimpin DAP Lim Kit Siang menggesa semua timbalan pendakwa raya membaca manifesto PRU ke-14 Pakatan Harapan (PH) agar memahami pendirian kerajaan berkenaan beberapa undang-undang.

Ia susulan pendakwa raya bagi kes Akta Hasutan terhadap pendakwah Wan Ji Wan Hussin, yang membuat rayuan untuk meningkatkan hukuman, di sebalik komitmen kerajaan untuk memansuhkan undang-undang era penjajahan itu.

"Bagi mengelak kejadian sama berlaku lagi, semua timbalan pendakwa raya perlu membaca manifesto PH dan dapatkan arahan baru dari peguam negara jika mereka ada pertanyaan, terutama berkaitan dengan kes sebelum PRU lalu, " katanya dalam satu kenyataan.

Pada 9 April 2018, Wan Ji dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan atas tuduhan menghina Sultan Selangor, namun pihak pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk tempoh itu ditingkatkan.

Wan Ji dibebaskan dengan jaminan selepas memfailkan rayuan terhadap hukuman itu.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Julai bersetuju untuk menambahkan hukuman penjara hingga setahun dan mengarahkan agar hukuman segera dijalankan walaupun pihak pembelaan memberitahu hakim mereka mahu memfailkan penangguhan dan rayuan.

Dia dibebaskan semalam selepas Mahkamah Tinggi di Shah Alam membenarkan permohonan peguam Wan Ji, Mohd Radzlan Jalaluddin untuk menangguhkan pelaksanaan sementara menunggu rayuan.

Permohonan untuk meningkatkan hukuman itu mengundang persoalan mengenai pendirian kerajaan berkenaan akta itu.

Peguam Negara Tommy Thomas kemudian menjelaskan bahawa beliau tidak tahu akan tindakan timbalan pendakwa raya itu.

Lim yang juga anggota parlimen Iskandar Puteri berkata penjelasan Thomas telah "meredakan kebimbangan mengenai komitmen kerajaan untuk mengembalikan prinsip kebebasan dan keadilan untuk rakyat Malaysia".

Beliau bagaimanapun menggesa timbalan pendakwa raya untuk mendapatkan nasihat daripada Thomas sebelum meneruskan langkah dalam kes seumpamanya.


Tiada ulasan: