59 notis arahan dikeluarkan, 3 bakal berdepan syor tindakan mahkamah
JOHOR BAHRU –
Tiga kilang dipercayai beroperasi secara haram di Pasir Gudang diserbu dan
dikenakan pelbagai tindakan oleh pihak penguat kuasa dalam satu operasi
pemeriksaan bersepadu berterusan, susulan insiden sesak nafas dan muntah-muntah
di kawasan itu sejak 20 Jun lepas.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS)
Johor Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, hasil operasi bersepadu pelbagai
agensi semalam, pihaknya menahan operasi, kelengkapan serta peralatan terhadap
satu kilang manakala pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) bertindak
menyita ketiga-tiga kilang terbabit.
“Sebuah kilang dipercayai mengitar
semula bahan terpakai seperti plastik, minyak terpakai. Sebuah kilang
lagi berasaskan logam dan sebuah lagi kilang disyaki membuat pengasingan sisa
pepejal,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Turut turun padang dalam operasi
bersepadu itu ialah Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan
Iklim Yeo Bee Yin dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,
Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Cheng Choon.
Sehingga 5 petang semalam, sebanyak
248 kilang telah diperiksa menerusi operasi bersepadu berterusan yang disertai
pelbagai agensi kerajaan termasuk JAS dan MPPG.
Wan Abdul Latiff berkata, sebanyak
125 kompaun melibatkan buangan terjadual dikeluarkan, 10 kompaun untuk efluen
perindustrian manakala satu kompaun untuk loji kumbahan.
“Selain itu, 59 notis arahan turut
dikeluarkan, 11 perintah tahan operasi kelengkapan dan tiga bakal berdepan
dengan syor tindakan mahkamah,” katanya.
Meskipun sasaran awal pemeriksaan
sebanyak 250 kilang hampir selesai, pihaknya akan meneruskan seberapa banyak
pemeriksaan secara berterusan.
“Kita akan teruskan seberapa banyak
(pemeriksaan terhadap kilang-kilang lain) yang boleh. Saya nak buat lebih
daripada itu (lebih 250 kilang),” katanya.
Menerusi entri yang dimuat naik di
Facebook JAS semalam, fokus operasi pemeriksaan bersepadu pada Khamis
menumpukan kepada kilang-kilang haram yang tiada lesen perniagaan.
Antara tindakan yang diambil selain
arahan berhenti operasi ialah pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional
Berhad (TNB). – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan