Halaman

Selasa, 17 Disember 2019

Mangsa banjir perlu ke PPS berdaftar untuk mudah dapat bantuan

Antara keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara 
Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Rantau Panjang, Kelantan. 
(Gambar Bernama)
 
KOTA BHARU: Penduduk di negeri ini yang terjejas dengan banjir disarankan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang diwartakan oleh kerajaan bagi memudahkan penyaluran bantuan oleh pihak bertanggungjawab.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, berkata ini kerana terdapat segelintir mangsa banjir yang berpindah di tempat yang tidak sah, sedangkan di setiap jajahan sudah ada PPS yang didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Adalah sukar bagi pihak berkaitan menyalurkan bantuan jika mangsa banjir berada di kawasan pemindahan yang tidak berdaftar, kerana kebiasaanya bantuan akan tertumpu kepada mangsa banjir yang berada di PPS yang berdaftar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sanjungan Budi di sini malam tadi.

Beliau mengulas dakwaan segelintir mangsa banjir gelombang pertama baru-baru ini kononnya pengurusan di PPS lambat menghulurkan bantuan sehingga menimbulkan masalah kepada terutama kepada wanita mengandung dan kanak-kanak.

Ujar beliau, pihaknya juga akan berusaha untuk melakukan penambahbaikan di PPS pada masa akan datang dengan melakukan pengasingan bagi Orang Kurang Upaya (OKU), wanita, kanak-kanak serta warga emas bagi memberikan lebih tumpuan kepada golongan-golongan tersebut.

Beliau juga berkata pihaknya sudah bersiap sedia bagi menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku sekitar akhir bulan ini.

“Sekarang kita bimbang kalau berlaku hujan berterusan dan air pasang pada 23 hingga 27 Disember ini, dan jika ianya berlarutan mungkin akan berlaku banjir besar, namun mengikut ramalan cuaca yang dikeluarkan banjir tahun ini tidak akan seteruk yang berlaku pada 2014.

“Malah, selain persiapan dari segi fizikal, kita juga telah memohon supaya setiap masjid di negeri ini melakukan solat hajat dan berdoa supaya tidak berlaku musibah banjir yang di luar jangkaan dan ianya telah dilaksanakan di sesetengah masjid,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.