KALAU
dulu penagih dadah perlu ‘mengejar’ pembekal atau tokan bagi
mendapatkan bekalan, tetapi kini mereka hanya perlu tunggu barangan
haram itu dihantar ke lokasi dikehendaki selepas membuat pesanan.
Penghantaran bukan hanya dilakukan sekitar Lembah Klang sebaliknya
sindiket pengedaran dadah yang mengiklankan pelbagai jenis dadah
menerusi WeChat mampu menghantar bekalan haram itu ke Pulau Pinang dan
Johor dengan membuat bayaran ketika penghantaran (COD).
Sumber berkata, sindiket yang didalangi warga tempatan turut memperoleh bekalan dadah dari negara jiran.
AIR minuman yang dicampur dadah.
“Sindiket ini dipercayai sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu.
Siasatan lanjut mengenainya termasuk dari mana bekalan dadah diperoleh
sedang dilakukan.
“Kita percaya dadah itu ada diperoleh dari negara jiran selain bekalan tempatan,” katanya.
Keghairahan sindiket memasarkan pelbagai jenis dadah terutamanya
ekstasi dan rokok ganja itu berakhir apabila Bahagian Siasatan Jenayah
Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan ‘transporter’ di
kawasan kondominium di Taman Shamelin Perkasa, di sini, jam 10,50 pagi,
Isnin lalu sebelum dipandu ke sebuah kondominium di Kajang yang
dijadikan stor simpanan barangan itu.
Ketua Polis Daerah Cheras,
Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, sepasang
kekasih warga tempatan dan Thailand antara tiga ditahan pihaknya selain
merampas pelbagai dadah bernilai RM800,000.
Mohamed Mokhsein berkata, siasatan awal kita mendapati suspek menggunakan aplikasi WeChat bagi menjual dadah berkenaan.
“Iklan di aplikasi WeChat antaranya berbunyi ‘Order sekarang hantar
sekarang’ dan ‘air bubble yang sedap’ tak ubah seperti perkhidmatan
penghantaran makanan e-hailing.
ANTARA barang yang dirampas dalam serbuan di stor simpanan dadah. “Khidmat penghantaran dadah bukan saja di ibu negara, malah Johor Bahru dan Pulau Pinang.
“Siasatan awal mendapati sebotol cecair ekstasi dijual antara RM200 dan
RM300,” katanya dalam sidang media di IPD Cheras di sini, semalam.
Mohamed Mokhsein berkata, dadah yang dirampas itu dipercayai boleh dibekalkan kepada 196,800 penagih sekiranya dipasarkan.
“Rampasan itu membabitkan 6,691 gram serbuk ekstasi, 1,802 pil ekstasi,
270,816 gram cecair ekstasi dan 80 batang rokok ganja,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Mokhsein berkata, operasi khas itu bermula
apabila pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun
dipercayai ‘penghantar’ dalam sebuah kereta sebelum pemeriksaan lanjut
menemui serbuk ekstasi seberat tiga kilogram.
MOHAMED
Mokhsein (tengah) menunjukkan pelbagai dadah jenis pil, serbuk, cecair
ekstasi dan ganja yang dirampas di IPD Cheras, semalam.
“Selepas soal siasat, suspek kemudian membawa polis untuk serbuan kedua
jam 1.50 tengah hari di sebuah kondominium kawasan Kajang,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, di unit kondominium kedua itu polis menahan
lelaki tempatan berusia 27 tahun dan wanita Thailand berumur 29 tahun
dipercayai pasangan kekasih.
“Dalam serbuan ini, sebuah kereta
Proton Persona bernilai RM26,300, wang tunai RM4,181 dan sejumlah mata
wang asing turut disita,” katanya.
Menurutnya, suspek pertama
bekerja sebagai ejen hartanah direman selama enam hari manakala dua lagi
suspek ditahan reman selama tujuh hari masing-masing bermula kelmarin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.