HALAMAN SANTAI

Khamis, 9 Januari 2020

Isu tanglung: Kenapa anggota Kabinet melatah?

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Menteri lebihkan kaum Cina, senyap dalam isu tulisan jawi

BANGI – Kenapa perlu anggota Kabinet ‘melatah’ hanya kerana perhiasan Tahun Baru Cina yang digantung secara berlebihan di sebuah sekolah di Puchong, Selangor diturunkan.

Hairan dengan sikap kebanyakan menteri Pakatan Harapan (PH), Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, isu di sekolah berkenaan dilihat dalam konteks reaksi balas orang Melayu terhadap bantahan Dong Jiao Zong kepada silibus tulisan jawi.

Beliau menegaskan, hiasan bunga dan tanglung itu hanyalah ‘kosmetik’ berbanding isu tulisan jawi yang telah pun dimuktamadkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kenapa hal tanglung terus mendapat perhatian menteri Kabinet? Sikap berat sebelah menteri Kabinet dalam menangani sesuatu isu dilihat menyebelahi kaum Cina dan senyap dalam hal tulisan jawi serta sekolah vernakular.

“Ini menunjukkan kerajaan PH tidak mementingkan hal berkaitan kepentingan kaum Melayu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Isu tanglung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 menjadi kontroversi selepas ada pemimpin pembangkang mendakwa, ia dipasang secara berlebihan serta dikaitkan sebagai usaha untuk menyebarkan agama lain kepada murid Islam.

Susulan perkara itu, pihak sekolah bertindak menurunkan perhiasan berkenaan, yang sekali gus menerima kecaman kebanyakan menteri dan timbalan menteri.

Bahkan, hari ini satu majlis dan sidang media diadakan untuk memasang semula tanglung di sekolah terbabit yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta beberapa menteri lain, antaranya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching serta Menteri Beliau dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ustaz Shuhaib Ar-Rumy turut kesal apabila isu seumpama itu turut mendapat perhatian Dr Wan Azizah.

“Begitu hebat sekali sehingga timbalan perdana menteri sendiri yang turun ke sekolah berkenaan untuk memasang semula tanglung tersebut.

“Di manakah beliau ketika isu jawi dibelasah teruk oleh Dong Zong?,” soalnya.


Tiada ulasan: