Pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan berhubung pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).
Antara lain memorandum dua muka surat itu menggesa satu pertemuan bersama Menteri Pendidikan diadakan segera dengan pertubuhan itu bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular.
Memorandum yang turut memuatkan resolusi hasil perbincangan oleh 17 pertubuhan berkenaan pada 28 Dis lepas itu diterima oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan) Dr Habibah Abdul Rahim.
Katanya, peluang itu digunakan bagi menjelaskan bahawa pertubuhan itu tidak membantah pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi tetapi kurang berpuas hati dengan cara penerangan dan kaedah pelaksanaan yang dibuat seolah-olah ia bukan satu pilihan.
Yang turut hadir Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Tan Tai Kim.
Ogos
lepas, Kementerian Pendidikan mengesahkan akan tetap melaksanakan
pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat
pada 2020 seperti yang dijadualkan walaupun mendapat bantahan mengenai
pengajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.