Halaman

Sabtu, 22 Februari 2020

Peralihan kuasa PM: Pas, UMNO gigit jari

Wartawan MalaysiaGazette
Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim


KUALA LUMPUR – Keputusan sebulat suara Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memberi mandat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menentukan sendiri tarikh peralihan kuasa menyebabkan Pas dan UMNO terus kempunan untuk merosakkan keutuhan kerajaan campuran ini.

Ini kerana, dua parti pembangkang itu ingin sangat untuk lihat parti-parti dalam PH bergaduh dan bercakaran sehingga berpecah.

Kemudian Pas dan UMNO datang menangguk di air keruh dengan idea pembentukan kerajaan pintu belakang yang bernama Pakatan Nasional, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

“Mimpi di siang hari Pas dan UMNO tak kesampaian dan mereka kini terpaksa menggigit jari. Undi percaya atau undi tak percaya yang kononnya hendak dibawa oleh Pas di Parlimen pada bulan Mac ini dan disokong oleh UMNO sudah tidak relevan lagi.

“Isu itu sudah anti-klimaks sekarang. Di sinilah kebijaksanaan yang tersembunyi di sebalik keputusan para pemimpin tertinggi PH lewat malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hassan turut memuji sikap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tenang dan sabar dalam membantu merumuskan keputusan sebulat suara yang memberi mandat kepada Dr Mahathir menentukan sendiri tarikh untuk berundur.

Katanya, sikap Anwar yang tidak menekan, tidak mendesak Dr Mahathir dan menunjukkan tingkat kesabaran yang tinggi mencerminkan pekerti seorang pemimpin politik yang berhemah tinggi.

“Pujian dan penghargaan perlu diberi kepada Anwar kerana atas kesabarannya PH terus kukuh dan kerajaan campuran PH dapat diselamatkan.

“Cuba bayangkan jika dalam mesyuarat malam tadi Anwar membawa sikap dan pendirian yang keras dan enggan bertolak ansur. Malam tadi juga PH boleh pecah dan pagi ini kerajaan campuran PH terkubur,” tambahnya.

Bagaimanapun, sebagai anggota Parlimen PKR yang setia kepada presiden, Hassan tidak menafikan beliau agak terkilan dengan keputusan itu.

“Saya tiada masalah sangat Dr Mahathir melepaskan jawatan PM selepas Sidang APEC. Tetapi jauh di hati saya masih mengharap satu tarikh yang pasti selepas APEC itu bila? Apa tarikhnya? Bulan apa? Berapa hari bulan? Tetapi persoalan ini tidak dijawab.

“Kekaburan berterusan. Sebab itulah di dalam hal undang-undang, bila kita buat perjanjian soal tarikh mesti ditulis dengan terang, nyata dan tepat. Masa adalah intipati (time is the essence) dalam apa juga perjanjian, termasuklah perjanjian politik.

“Rakyat kini melihat memandang Dr Mahathir. Adakah selepas APEC Mahathir akan berundur? Tahun 2023 pun selepas APEC. Tetapi rakyat Malaysia bukannya bodoh. Saya percaya Dr Mahathir menghargai sikap pimpinan dalam PH terutama sikap Anwar yang sanggup menunggu, sanggup bersabar.

“Saya percaya Dr Mahathir akan berundur, betul-betul berundur selepas APEC November 2020.
Mungkin 30 November 2020 atau paling lewat 31 Disember 2020. Mahathir tidak akan berdalih lagi kali ini. Kalau Mahathir berdalih dalih lagi, bukan Anwar yang rugi tetapi Mahathir sendiri yang akan rugi. Saya percaya dan terus berharap Dr Mahathir tidak mungkir janji,” katanya.

Kata Hassan, sebagai seorang Ahli Parlimen PKR yang patuh janji dan patuh arahan parti yang setia berpegang dengan janji PH untuk menyokong Dr Mahathir jadi Perdana Menteri jika PH menang PRU-14 pada 9 Mei 2018, beliau berhak menuntut janji dari Dr Mahathir.

Ini kerana, katanya, sebaik sahaja diisytihar menang beliau telah menandatangani satu surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Sebagai seorang ahli parlimen PH dari PKR saya telah menunaikan janji saya dan janji parti saya, PKR. Sekarang saya percaya saya berhak menuntut janji dari Dr Mahathir untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim selepas persidangan APEC sebelum berakhir tahun 2020 ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.