
KUALA LUMPUR – Tindakan terdesak saat akhir Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi kerajaan semula adalah sia-sia walaupun dakwaan mereka memiliki 114 kerusi itu mungkin benar.
Ini kerana, Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(4) jelas mengatakan bahawa “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.
Kini katanya, Yang di-Pertuan Agong telah melantik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin secara sah dan selepas mengangkat sumpah esok (1 Mac 2020), hanya beliau yang boleh memilih sama ada untuk menasihati baginda untuk membubarkan Dewan Rakyat atau meletak jawatan.
“Tiada istilah pelantikan Perdana Menteri bergantung 100 peratus jumlah sokongan Ahli Dewan Rakyat.
“Berdasarkan situasi semasa, baginda telah menjalankan kesemua langkah secara tertib dan bijaksana sepertimana menurut Perlembagaan Persekutuan, dan pelantikan Muhyiddin adalah sah,” katanya memberi pandangan mengenai dakwaan PH, bahawa parti itu mempunyai 114 sokongan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Menurut Abdul Muein, tindakan sesetengah Ahli Parlimen melompat selepas pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dijadikan asas kononnya secara automatik pelantikan Muhyiddin terbatal kerana ia tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sama sekali.
Kata beliau, ini bermakna semua Ahli Parlimen boleh memilih sama ada untuk mematuhi keputusan baginda – dengan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri – atau bertindak sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.
“Bukannya menganggap diri mereka sebagai penentu posisi Perdana Menteri kerana segala prosedur telah dijalankan sebaiknya oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Satu lagi pilihan Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan pelantikan Muhyiddin adalah dengan mendesak beliau agar membubarkan Dewan Rakyat.
“Tentulah mereka boleh mengemukakan undi tidak percaya, tetapi bukan dengan menganggap bahawa secara automatik calon yang mereka usulkan akan terus dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Beliau turut memberi peringatan bahawa langkah PH mendesak peletakan jawatan Muhyiddin samalah ertinya mendesak beliau membubarkan Dewan Rakyat.
Hakikatnya, katanya, keputusan telah dicapai menurut kaedah yang tertib dan tidak seharusnya ada cubaan oleh PH untuk terus memanjangkan krisis politik di negara ini saat ini.
“Sesungguhnya, hari ini krisis politik negara adalah berpunca daripada perebutan kuasa dalaman PH.
“Ia telah dileraikan dengan sebaiknya oleh baginda Yang di-Pertuan Agong – dibantu kerjasama sebahagian ahli politik yang bertindak demi kestabilan negara – bukannya demi kepentingan individu.
“Maka PH seharusnya insaf, tidak bertindak memanjangkan krisis ini dengan adegan lompat melompat yang mengimpak kestabilan yang telah diputuskan baginda,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan