HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Mei 2020

Fokus PRU15 bukan rampas kerajaan ‘di tengah jalan’, Pemuda PKR beritahu PH

Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Ab Razak.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) sepatutnya menumpukan kepada usaha untuk memenangi semula kerajaan dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berbanding merampas kerajaan di tengah jalan.

Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Ab Razak berkata, dengan memperkuatkan sokongan, PH dapat memastikan kerajaan lebih stabil berbanding mengajak wakil rakyat melompat parti.

“Trend perubahan kerajaan akibat lompat parti hanya mewujudkan ketidakstabilan politik yang merugikan rakyat dan negara,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang berkata wajib bagi PH merampas balik kerajaan.

Syukri berkata, jika PH kembali mendapat sokongan majoriti tanpa melalui pilihan raya, gabungan parti itu perlu berhati-hati dengan memuktamadkan perjanjian yang kemas termasuk jawatan perdana menteri diserah kepada Anwar Ibrahim.

“Syarat-syarat yang membina sokongan itu perlu ketat, telus, serta bebas daripada elemen sogokan.

“Budaya membalas budi dengan jawatan seperti yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional tidak boleh wujud dalam kepimpinan PH. Anwar wajar diangkat sebagai calon tunggal perdana menteri oleh PH,” katanya.

Katanya, PH sebelum ini menunaikan janji dengan mengangkat Dr Mahathir Mohamad, maka kerajaan PH 2.0 nanti perlu memberi peluang kepada Anwar.

“Jika idea PH ialah melaksanakan ‘reform’, maka wajar diberi peluang kepada Anwar untuk melaksanakan agenda tersebut.

“PH telah menunaikan janji mengangkat Tun Mahathir sebagai PM sebelum ini, sekarang masanya untuk melaksanakan janji memberi peluang kepada Anwar untuk mentadbir negara,” katanya.

Semalam, Khalid berkata, PH berikrar untuk merampas kembali pentadbiran Putrajaya daripada PN.

Katanya, rampasan balik kerajaan adalah perkara wajib kerana ia amanah yang diberikan rakyat ketika PRU14.


Tiada ulasan: