HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Jun 2020

Azmin jamin layanan adil kepada semua negeri untuk pulih ekonomi

Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan
Pembangunan Negeri Selangor hari ini (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Kerajaan persekutuan memberi jaminan akan berlaku adil terhadap semua negeri walaupun berada di bawah pimpinan pembangkang sebagai usaha menjana semula ekonomi negara susulan impak penularan pandemik Covid-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata, tidak timbul perbezaan ideologi politik dalam isu pembangunan ekonomi kerana ia merupakan tanggungjawab bersama, terutamanya ketika pasca Covid-19.

“Kita ketepikan politik, ini adalah masanya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berganding bahu menangani cabaran yang dihadapi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Covid-19.

“Sangat penting bagi kita, kerajaan persekutuan dan negeri untuk saling bekerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Selangor di sini, hari ini. yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Mengenai mesyuarat tersebut, Azmin yang juga merupakan pengerusi MTPNg Selangor berkata, ia bersetuju supaya beberapa projek infrastruktur yang diluluskan sebelum ini disegerakan pelaksanaannya.

Beliau berkata, langkah berkenaan dilihat perlu dilakukan kerana projek infrastruktur tersebut mempunyai kesan gandaan terhadap penjanaan ekonomi negeri dan juga negara.

Selain itu katanya, mesyuarat tersebut juga menumpukan kepada keperluan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital di Selangor.

“Hari ini, Telekom Malaysia Berhad membentangkan kertas kerja mengenai usaha kerajaan Selangor meningkatkan infrastruktur jalinan fiber optik di negeri ini dan kita akan memberikan sokongan terhadap langkah tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: