
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegur Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang asyik ‘menjaja’ nama bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan prosiding kesnya di mahkamah.
Tajuddin (Pasir Salak-BN) tidak berpuas hati apabila Mukhriz (Jerlun-Bebas) membangkitkan isu penyelewengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengaitkan nama Najib dalam perbahasannya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau memberitahu Mukhriz bahawa kes-kes berkaitan Najib dan 1MDB sedang dibicarakan di mahkamah.
“Tak usahlah buat tuduhan, seolah-olah menghakimkan, tunggulah mahkamah.
“Ini balik-balik macam bapa dia (Dr Mahathir Mohamad) juga. Tak habis-habis,” katanya mencelah ucapan Mukhriz ketika membahaskan usul titah Yang di-Pertuan Agong.
Tajuddin seterusnya mempersoalkan dakwaan Mukhriz menjadi ahli lembaga pengarah di banyak syarikat.
“Nak cerita Yang Berhormat pun banyak, ahli keluarga Yang Berhormat pun bermacam-macam cerita, banyak kalau kita nak cerita.
“Buat duit berbilion-bilion, apa perniagaan pun, meniaga apa?,” soalnya.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kemudian cuba menenangkan keadaan dan meminta Tajuddin agar bertenang dan kembali duduk.
Mukhriz kemudian mencabar Tajuddin untuk membawa dakwaan yang dibuatnya itu ke peringkat mahkamah.
Tajuddin yang juga pengerusi Prasarana Malaysia Bhd mempertahankan dakwaannya dengan berkata beliau mempunyai bukti “gambar” dan senarai syarikat yang berkaitan dengan Mukhriz. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.