Halaman

Sabtu, 25 Julai 2020

TH: Lapor polis gagal kemuka audit tahunan

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) membuat laporan polis berkaitan kegagalan Tabung Haji (TH) dalam mengemukakan audit laporan tahunannya, hari ini.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, keterangan tersebut telah diberikan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi melaporkan salah laku dalam tadbir urus institusi dana umat Islam tersebut.

Menerusi keterangannya di dalam laporan tersebut, beliau menyatakan bahawa pengurusan TH yang terdahulu gagal untuk membentangkan laporan audit institusi berkenaan bagi tahun 2018 dan 2019.

Beliau menambah, ianya merupakan satu kesalahan dan menyalahi Akta Tabung Haji (Akta 240) yang mana memperuntukkan supaya laporan audit kewangan haruslah dibentangkan kepada umum setiap tahun.

Mohd Zai di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi
selepas membuat laporan polis mengenai Tabung Haji.

Ekoran itu, laporan tersebut bertujuan untuk tindakan serta siasatan daripada pihak polis kepada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dan pengurusan tertinggi TH yang bertanggungjawab kepada pendeposit dan Parlimen Malaysia.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pontian, Dato’ Seri Ahmad Maslan mendedahkan bahawa TH gagal mengemukakan laporan tahun yang diaudit bagi dua tahun tersebut kepada Parlimen. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.