Naib
Presiden PKR Tian Chua berkata NGO barunya, yang dikenali sebagai Daya,
tidak ada kaitan dengan NGO yang sebelum ini ditubuhkan oleh bekas
pemimpin PKR yang berpihak kepada Mohamed Azmin Ali.
Bekas ketua
Wanita PKR Haniza Talha melancarkan Nation of Women (NoW) bulan lalu,
sementara Adun Gombak Setia Hilman Idham dan Adun Seberang Jaya Dr Afif
Bahardin mengasaskan Pemuda Negara pada bulan April.
Mereka semua berpihak kepada Azmin yang merupakan bekas timbalan presiden PKR.
Ketika
ditanya apakah penubuhan NGO baru itu adalah sebahagian dari proses
pembentukan sebuah parti politik baru, Tian Chua mengulangi bahawa
spekulasi itu "terlalu jauh."
"Saya tubuhkan (NGO) ini kerana kita ada falsafah sendiri yang telah kita sampaikan dalam ucapan.
"Bolehlah
sesiapa nak bandingkan dgn NGO lain untuk lihat metodologi itu berbeza.
Kita tak berkontradiksi dengan mana-mana pihak.
"Secara kebetulan
mereka wujudkan pergerakan masing-masing. Bagi saya bukan bermaksud
kita akan bersama untuk wujudkan platform politik baru," katanya dalam
sidang media selepas melancarkan NGO itu di Petaling Jaya.
Untuk rekod, Tian Chua sebelum ini mendedahkan akan membentuk sebuah NGO "berorientasi aktivisme" pada Mei lalu.
Namun, ketika ditemui semasa pelancaran NGO yang ditubuhkan Haniza, Tian Chua enggan mengulas lanjut mengenai hal itu.
Mereka
yang hadir hari ini termasuk Hilman, Afif, Haniza, bekas anggota PKR
Badrul Hisham Shaharin yang juga dikenali sebagai Chegubard; dan bekas
ketua penerangan Wanita PKR Syarul Ema Rena Abu Samah, juga dikenali
sebagai Ratu Naga.
Tian Chua juga mengatakan bahawa walaupun dia
masih menjadi naib presiden PKR, dia sekarang akan menumpukan usahanya
dalam NGO baru itu.
"Saya tidak meninggalkan politik. Saya masih naib presiden PKR. Pada masa ini saya bukan ahli parlimen.
"Saya rindu keterujaan menjadi ahli parlimen. Mungkin saya akan kembali bertanding (dalam pilihan raya umum).
"Tetapi
sekarang saya ingin menggunakan tenaga dan pengalaman saya untuk
menghasilkan momentum..saya membawa orang dari pelbagai kumpulan dan
menghidupkan kembali semangat aktivisme," katanya.
Mengenai NGO
baru itu, Tian Chua mengatakan dia akan mengumumkan program-program
khusus dalam waktu dekat untuk golongan yang menghadapi kesukaran akibat
pandemik Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan