HARAKAH DAILY
KUANTAN: PAS yakin aspek penularan wabak COVID-19
menjadi pertimbangan kerajaan, dalam keputusan membubarkan Parlimen bagi
membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, kata Timbalan Presidennya
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata kebimbangan
utama ialah, kemungkinan berlaku peningkatan kes COVID-19 apabila
pilihan raya diadakan, mengambil kira apa yang berlaku selepas Pilihan
Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung, baru-baru ini.
“Situasi PRN
Sabah telah mencetuskan gelombang baru kes COVID-19 di Semenanjung dan
keadaan ini perlu diambil kira jika mahu mengadakan PRU15, dalam masa
terdekat,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Jabatan
Pengairan dan Saliran 2020 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah
di sini, semalam.
Hari ini, sebuah media tempatan melaporkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berharap PRU-15 tidak diadakan dalam masa terdekat, berikutan peningkatan kes COVID-19 yang membimbangkan.
Beliau berkata walaupun SPR bersedia untuk melaksanakan pilihan raya,
namun berharap ia diadakan selepas situasi COVID-19 di negara ini
terkawal, kerana penularan wabak itu tetap berlaku di PRN Sabah walaupun
pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan.
Sementara
itu di PUTRAJAYA, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk
Rosol Wahid berkata, apa sahaja keputusan yang dibuat Umno diharapkan
tidak akan menjejas apa yang dinikmati pada rakyat hari ini.
Beliau berkata berdasarkan maklum balas yang diterima daripada rakyat, beliau mendapati rata-rata mereka berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Rata-rata tempat yang saya pergi rakyat gembira dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, jadi kalau kita wujudkan suasana yang tidak selesa ditambah dengan keadaan COVID-19 yang tidak selesai, saya rasa rakyat akan muak dan benci kepada kita,” katanya mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta Presiden parti itu untuk memikirkan hala tuju Umno, semalam.
“Bagi saya itu merupakan urusan dan keputusan Umno, dan kita sebagai parti yang memerintah termasuk PAS akan menyambut baik apa sahaja yang mereka buat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia di sini semalam. – BERNAMA

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.