www.tuncarlos.com
Pihak
pendakwaan telah menyerahkan lebih 100 dokumen kepada pasukan pembelaan
bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Ketua
Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isteri Betty Chew Gek Cheng dan ahli
perniagaan Phang Li Koon.
Perkara itu
dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Syafiq Hasim semasa pengurusan kes
tersebut hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Azhari Abdul
Hamid.
Syafiq berkata beliau akan menyerahkan
lima lagi dokumen berserta lebih 100 dokumen lain yang telah diserahkan
sebelum ini dalam bentuk salinan bercetak seperti yang diminta oleh
pihak pembelaan.
Peguam RSN Rayer yang mewakili Lim dan isteri
berkata pihaknya tiada bantahan terhadap perkara tersebut dan memohon
mahkamah menetapkan 19 Feb depan untuk sebutan kes seperti yang
dipersetujui oleh pihak peguam dan pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 19 Feb 2021 untuk sebutan semula kes itu.
Turut
hadir di mahkamah ialah peguam A. Rueban yng mewakili Phang.
Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh tidak hadir di mahkamah kerana
mendapat pengecualian kehadiran.
Syafiq ketika
ditemui pemberita di luar mahkamah berkata lebih 100 dokumen yang telah
diserahkan sebelum ini adalah dalam bentuk “hard disk” (cakera keras).
Katanya dokumen itu termasuk berkaitan
mesyuarat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi projek
perkampungan pekerja dan juga cek yang berkaitan dengan pertuduhan
pengubahan wang haram yang dihadapi tertuduh ketiga, Chew. Beliau
berkata lima lagi dokuman yang akan diserahkan ialah berkaitan cek-cek,
dan sekiranya kesemua dokumen telah lengkap kemungkinan tarikh
perbicaraan akan ditetapkan pada prosiding kes akan datang.
Pada
11 Ogos lalu, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu
Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan
Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk
suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Chew melalui
syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.
Lim
dituduh melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan
memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan
Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai
Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai
Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak
langsung mempunyai kepentingan.
Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan
kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua
Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang
mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009
yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman
maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai
suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Phang
pula didakwa telah bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Lim dalam
melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di
bawah seksyen dan hukuman serupa.
Chew didakwa
atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan
menerima wang berjumlah RM372,009 daripada syarikat Excel Property
Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam
akaun Public Bank Berhad miliknya.
Beliau
dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza, antara 7 Okt 2013
dan 4 Ogos 2014; 3 Sept 2014 dan 11 Ogos 2015 serta 4 Sept 2015 dan 3
Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.
Pertuduhan
dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang
Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di
bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi
RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan.
Lim, 60, Chew, 56, dan Phang, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapi mereka.- Bernama

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.